Dron ceroboh ruang udara pangkalan tentera, dalang gagal dikesan

SYDNEY: Pihak berkuasa Pertahanan Australia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas beberapa buah dron dikesan menceroboh ruang udara kawasan larangan tentera negara itu. 

Bagaimanapun,  pihak kepimpinan tertinggi tentera dilaporkan masih tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai dalang di sebalik insiden berkenaan.

Kehadiran Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) itu dilihat berlegar-legar di atas pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Williamtown yang merupakan pusat pertahanan jet pejuang taktikal negara berkenaan antara 11 hingga 13 Julai lalu.

Ekoran pencerobohan itu, para komander bertugas mengarahkan tingkap bangunan ditutup rapat menggunakan tirai bagi mengelakkan maklumat sulit dan sensitif dapat diperhatikan dari luar.

Sehingga kini, Angkatan Pertahanan Australia (ADF) masih berusaha mengenalpasti pengendali dan motif di sebalik tindakan menceroboh kawasan sensitif tersebut.

Sementara itu, Polis New South Wales (NSW) dilaporkan sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai punca senjata anti-dron tidak digunakan bagi menjatuhkan pesawat berkenaan semasa kejadian.

Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan mendalam memandangkan Pangkalan RAAF Williamtown merupakan ‘rumah’ kepada beberapa aset tentera paling canggih di Australia, termasuk jet pejuang F-35A Joint Strike Fighter dan pesawat E-7A Wedgetail.

Jurucakap Pertahanan memberitahu The Daily Telegraph bahawa pihak mereka mengambil maklum mengenai kehadiran dron yang beroperasi di sekitar Lapangan Terbang Newcastle dan Pangkalan RAAF Williamtown.

“Pihak Pertahanan menerapkan langkah keselamatan berlapis yang kukuh bagi melindungi anggota, fasiliti dan keupayaannya.

“Atas faktor keselamatan operasi, pihak Pertahanan tidak akan mengulas mengenai pelan atau langkah khusus yang dilaksanakan di pangkalan berkenaan,” katanya.- AGENSI

 

Scroll to Top