hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sistem data perumahan yang komprehensif dan berpusat mampu membantu mengurangkan ketidakpadanan antara penawaran dengan permintaan, sekali gus menangani isu unit kediaman tidak terjual.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 dilapor akan memperkenalkan analitik data raya mulai tahun depan bagi membantu menangani ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan keperluan sebenar rakyat mengikut lokaliti.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Zaini Yusoff berkata, langkah itu membolehkan sektor awam dan swasta membuat keputusan lebih tepat mengenai pembangunan perumahan berdasarkan permintaan sebenar.
Beliau berkata, REHDA sejak sekian lama menyokong penubuhan sistem data perumahan berpusat yang komprehensif, tepat dan mampu memberikan gambaran semasa mengenai permintaan di lokasi tertentu.
“Data yang lebih baik akan membolehkan sektor awam dan swasta membuat keputusan lebih bermaklumat, khususnya memastikan perumahan mampu milik disediakan di lokasi dan pada harga yang tepat serta berdasarkan permintaan sebenar.
“Ia pada masa sama dapat mengurangkan ketidakpadanan penawaran dan permintaan serta unit tidak terjual,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Zaini berkata REHDA menyambut baik penekanan DRN terhadap perancangan perumahan berasaskan data, termasuk penggunaan analitik data raya dan unjuran perumahan mengikut lokasi.
Katanya, unjuran itu turut mengambil kira bekalan sedia ada, kekosongan, jenis kediaman, kategori pendapatan serta harga bagi membantu perancangan pembangunan yang lebih bersesuaian dengan keperluan pasaran.
Dalam aspek pemilikan rumah, REHDA turut menyambut baik pengiktirafan terhadap keperluan menyediakan laluan pemilikan yang lebih pelbagai kepada rakyat.
Ia termasuk skim Sewa untuk Beli (RTO), Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), pemilikan bersama serta pembiayaan perumahan berkadar tetap bagi tempoh panjang.
Zaini berkata, akses kepada pembiayaan kekal antara cabaran utama yang dihadapi bakal pembeli rumah.
Justeru, katanya, REHDA mengalu-alukan penyelesaian pembiayaan yang lebih fleksibel dan inklusif, terutama untuk isi rumah berpendapatan sederhana.
“Golongan ini mungkin tidak layak menyertai program perumahan mampu milik, tetapi pada masa sama masih berdepan kekangan kemampuan membeli rumah dalam pasaran terbuka,” katanya.
REHDA turut menyokong hala tuju DRN dalam mewujudkan kejiranan lebih berdaya huni, integrasi perumahan dan pengangkutan lebih baik serta pembaharuan bandar.
Persatuan itu berkata, integrasi dasar perumahan dan pengangkutan termasuk Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) penting bagi meningkatkan hubungan kediaman dengan tempat kerja, pengangkutan awam dan kemudahan asas.
Bagaimanapun, REHDA berpandangan beberapa langkah di bawah dasar berkenaan memerlukan penelitian teliti dan penglibatan bermakna daripada industri.
Ia khususnya membabitkan cadangan peralihan daripada sistem Jual Kemudian Bina (STB) kepada Bina Kemudian Jual (BTS) antara 2027 hingga 2035.
© New Straits Times Press (M) Bhd
