WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Israel mencapai persetujuan dengan Damsyik untuk mengeluarkan bahan nuklear dari sebuah tapak rahsia di Syria, lapor Axios.
Menurut laporan itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan diberikan akses ke tapak yang dikenali sebagai Tapak 99 bagi mengambil bahan yang dipercayai merupakan sisa daripada reaktor Al-Kibar milik Syria, yang dibom Israel pada 2007.
Tapak berkenaan dilaporkan menyimpan yellowcake, iaitu serbuk uranium pekat yang boleh diproses menjadi bahan api nuklear.
Walaupun bahan itu tidak boleh digunakan secara langsung untuk menghasilkan bom nuklear, ia berpotensi disebarkan menggunakan bahan letupan konvensional dan menyebabkan pencemaran radioaktif yang disebut sebagai bom kotor.
Israel dilaporkan mengebom pintu masuk ke tapak itu tidak lama selepas gabungan kumpulan pejuang Islam yang disokong AS menawan Damsyik pada Disember 2024, sekali gus menggulingkan Presiden Syria ketika itu, Bashar Al- Assad.
Seorang pegawai Israel memberitahu Axios, rejim itu mengancam untuk mengebom semula tapak berkenaan jika bahan nuklear tersebut tidak dikeluarkan atau terdapat tanda-tanda Syria cuba mengaksesnya.
Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa juga merupakan bekas komander kumpulan jihad yang pernah dikehendaki AS.
Namun kini, beliau berusaha memperbaiki hubungan negaranya dengan negara Barat serta menarik bantuan asing ke Syria yang dilanda perang saudara sejak 2011.
Bulan lalu, Ahmed mendedahkan beliau sedang berunding mengenai perjanjian keselamatan dengan Israel yang menduduki sebahagian kawasan barat daya Syria sejak 2024 dan memperluaskan kehadirannya di luar kawasan Bukit Golan yang dikuasainya sejak 1967.
Kerajaan beliau turut berusaha menormalisasikan hubungan dengan Russia, yang memberikan sokongan ketenteraan kepada Bashar.
Awal bulan ini, Moscow dan Damsyik bersetuju untuk menyusun semula pangkalan udara Khmeimim milik Russia dan kemudahan tentera laut di Tartous sebagai pusat latihan bersama.
Perjanjian itu membolehkan Russia mengekalkan kehadiran ketenteraannya di Syria selepas kejatuhan kerajaan Bashar.
