Penyanyi didakwa anti-Palestin maut tersepit kereta

BAITULMAQDIS – Penyanyi lagu keagamaan Yahudi yang didakwa mempunyai pendirian anti-Palestin, Avishai Levy, maut dalam satu kemalangan selepas tersepit antara keretanya dan sebatang tiang pada Jumaat lalu.

Levy, 46, yang merupakan anggota komuniti Yahudi Haredi, dilaporkan baru keluar dari kenderaannya di Jalan Adoniyahu HaCohen sebelum kereta berkenaan secara tiba-tiba bergerak ke hadapan.

Mangsa dipercayai cuba menghentikan kenderaan tersebut namun tersepit antara kereta dan sebatang tiang utiliti berhampiran.

Pasukan kecemasan Magen David Adom dan United Hatzalah yang tiba di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan serta menjalankan usaha menyelamat.

Bagaimanapun, Levy mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan insiden itu, unit polis trafik melancarkan siasatan teknikal bagi mengenal pasti kemungkinan berlaku kerosakan mekanikal yang menyebabkan kenderaan tersebut bergerak selepas diparkir.

Kematian Levy turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila timbul dakwaan mengenai latar belakang serta pendiriannya terhadap Palestin.

Beberapa akaun media sosial pro-Palestin mendakwa Levy pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera Israel berpangkat mejar.

Mereka turut mendakwa penyanyi itu menggunakan platform muziknya untuk mempersembahkan lagu berunsur anti-Palestin dan nyanyian berteraskan nasionalisme kepada anggota tentera Israel.

Bagaimanapun, dakwaan berhubung perkhidmatan ketenteraan serta pendirian anti-Palestin Levy itu tidak disahkan secara bebas mahupun oleh pihak berkuasa.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kematian Levy sebagai kemalangan jalan raya dan siasatan masih diteruskan bagi menentukan punca sebenar kenderaannya bergerak secara tiba-tiba.

Scroll to Top