Afiq Fazail dinobat MVP Anugerah Liga Malaysia 2025/2026

PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Afiq Fazail dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2025/26 pada Anugerah Liga-M di Auditorium Seri Angkasa, di sini malam ini.

Anugerah berprestij itu melengkapkan musim gemilang pemain berusia 31 tahun berkenaan yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Harimau Selatan mempertahankan kejuaraan Liga Super selain membantu skuad meraih Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Muhammad Afiq sebelum ini membuktikan konsistensinya apabila turut sama diiktiraf sebagai Pemain Tengah Terbaik pada edisi 2022 dan 2023 menjadikan musim 2025-2026 sebagai kejayaan kali ketiganya menyingkirkan calon lain, iaitu Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) dan Nooa Laine (Selangor FC).

Gelaran MVP menjadi satu pengiktirafan baharu yang melengkapkan koleksi pencapaian individunya selain menjadi antara watak penting pasukan menerusi enam bantuan jaringan yang berjaya dilakukan secara keseluruhan pada musim lepas.

Kejayaan meraih gelaran itu buat julung-julung kali dalam kariernya pada masa sama menyuntik semangat buat beliau untuk beraksi dengan lebih baik bagi musim baharu.

“Saya pun terkejut saya dapat MVP kali ini. Alhamdulillah.

“Sedikit sebanyak saya belajar daripada Safiq Rahim. Saya pernah bermain dengan dia dahulu, dua tiga musim juga. Saya rasa, ini semua kerja berpasukan untuk mendapatkan MVP,” katanya.

Sementara itu, JDT menguasai tujuh daripada 15 kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.

Selain Anugerah MVP dimenangi oleh Muhammad Afiq, Ahmad Syihan Hazmi berada dalam kelas tersendiri dengan mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut, manakala Bergson da Silva juga terus membuktikan kualiti untuk dinobatkan selaku Pemain Import Terbaik sekali lagi sejak edisi 2022.

Pengendali JDT Xisco Munoz yang berjaya membawa pasukan meraih quadruple buat kali keempat pada musim 2025-2026 berjaya merangkul trofi Jurulatih Terbaik menerusi pencalonan kali pertamanya itu selepas mula membimbing JDT pada musim lepas, menewaskan penyandang Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC) dan Kim Pan Gon (Selangor FC).

JDT pada masa sama turut merangkul gelaran Pasukan Terbaik selain Boys Of Straits terus kukuh selaku pemain ke-12 kelab tersebut apabila sekali lagi dijulang sebagai Penyokong Terbaik pada edisi ini. – Bernama

Senarai pemenang Anugerah Liga-M 2025-2026 adalah seperti yang berikut:

1. Penjaga Gol Terbaik: Syihan Hazmi Mohamed (JDT)

2. Pertahanan Terbaik: Quentin Cheng (Selangor FC)

3. Pemain Tengah Terbaik: Muhammad Afiq Fazail (JDT)

4. Penyerang Terbaik: Faisal Abdul Halim (Selangor FC)

5. Jurulatih Terbaik: Xisco Munoz (JDT)

6. Pemain Import Terbaik: Bergson da Silva (JDT)

7. Pemain Muda Terbaik: Haziq Kutty Abba (Penang FC)

8. Pemain Paling Bernilai (MVP): Muhammad Afiq Fazail (JDT)

9. Anugerah Fair Play: Melaka FC

10. Pasukan Terbaik: JDT

11. Gol Terbaik Liga Malaysia 2025-2026: Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC)

12. Kasut Emas Liga Super: Bergson da Silva (JDT) – 27 Gol

13. Kasut Emas Liga Super (Tempatan): Safawi Rasid (KL City FC) – 13 Gol

14. Penyokong Terbaik: Boys of Straits (JDT)

uhammad Afiq Fazail, JDT, anugerah

 

 

Scroll to Top