PETALING JAYA: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail melengkapkan malam gemilang Liga M Awards 2025-2026 (LMA25-26) apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat julung kali dalam kariernya.
Pengiktirafan buat tonggak JDT itu menandakan kemuncak kepada musim cemerlangnya yang terus memainkan peranan penting dalam jentera pasukan sepanjang musim 2025-26 untuk membantu kelab menyempurnakan misi meraih Quadruple buat kali keempat di pentas Liga Malaysia.
Afiq sebelum ini sudah membuktikan konsistensinya di pentas kemahsyuran ini apabila turut sama diiktiraf sebagai Pemain Tengah Terbaik pada edisi 2022 dan 2023 menjadikan musim 2025-2026 sebagai kejayaan kali ketiganya menyingkirkan calon lain iaitu Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) dan Nooa Laine (Selangor FC).
Namun, gelaran MVP pastinya menjadi satu pengiktirafan baharu yang melengkapkan koleksi pencapaian individunya menyaksikan pengalaman dan keupayaannya mengawal permainan menjadikan pemain berusia 32 tahun ini antara watak penting pasukan selain sumbangannya dalam aspek kreativiti menerusi 6 bantuan jaringan yang berjaya dilakukan secara
keseluruhan musim lalu.
Lebih istimewa, kemenangan MVP ini hadir selepas Afiq mengharungi perjalanan Panjang untuknya terus membina reputasi sebagai antara pemain tengah tempatan paling konsisten dalam Liga Malaysia setakat ini.
“Ini satu kejayaan yang bermakna untuk saya kali pertama meraih MVP. Trofi ini membuktikan kerja keras saya untuk pasukan, dan saya akan terus berusaha untuk memberikan keseimbangan dalam perlawanan-perlawanan akan datang selepas ini.
“Sudah tentu, dengan anugerah ini akan memberikan motivasi tambahan untuk saya lebih banyak menyumbang dan bantu rakan-rakan sepasukan,” katanya.
Trofi MVP tersebut telah disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sambil diiringi oleh Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan.
Secara keseluruhan, LMA25-26 menyaksikan kelab JDT berjaya menguasai 7 kategori Utama yang dipertandingkan pada kali ini.
Selain Anugerah Pemain Tengah Terbaik yang dimenangi oleh Afiq, Ahmad Syihan Hazmi turut berada di kelas tersendiri apabila mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keempat berturut-turut manakala Bergson da Silva juga terus membuktikan kualiti untuk dinobatkan selaku Pemain Import Terbaik sekali lagi sejak edisi 2022.

Pengendali JDT, Xisco Munoz yang berjaya membawa pasukan meraih Quadruple buat kali keempat pada musim 2025-2026 dengan menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia berjaya merangkul trofi Jurulatih Terbaik menerusi pencalonan kali pertamanya itu selepas mula membimbing JDT pada musim lalu menewaskan
penyandang Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC) dan Kim Pan Gon (Selangor FC).

Sementara itu, tonggak Selangor FC, Faisal Abdul Halim turut melakar detik istimewa apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik, sekali gus meraih trofi individu pertamanya selepas empat kali tercalon sejak edisi 2020, 2021, 2022 dan 2023.
Ketajaman pemain berusia 28 tahun itu pada musim lalu jelas terserlah menerusi 17 gol yang berjaya dihasilkan secara keseluruhan sekaligus mempamerkan kebangkitan yang cukup bermakna buat dirinya.
“Trofi yang cukup bermakna terutamanya selepas musim yang mencabar untuk saya bangkit hingga ke tahap ini. Ia bukan mudah, tapi saya cuba sedaya upaya, bekerja keras untuk tolong pasukan dan Alhamdulillah atas kejayaan trofi malam ini.
“Kejayaan ini sudah tentu untuk semua penyokong Selangor dan keluarga saya,” kata Faisal.
Rakan sepasukannya di Selangor FC, Quentin Cheng juga tidak kurang hebatnya untuk memastikan trofi dalam genggaman apabila menamatkan penantian untuk merangkul gelaran Pertahanan Terbaik buat julung kali selepas 3 kali tercalon sejak edisi 2021.
Manakala, juara 12 kali Liga Super, JDT pula merangkul gelaran Pasukan Terbaik selain Boys Of Straits terus kukuh selaku pemain ke 12 kelab tersebut apabila dijulang sebagai Penyokong Terbaik sekali lagi pada edisi ini.
Sementara itu, MVP 2018 dan 2019, Safawi Rasid yang kini bersama Kuching City FC pula hadir dengan aura penjaring utama apabila berjaya meraih Kasut Emas Liga Super Tempatan selepas meledak 13 gol bersama Kuala Lumpur City FC musim lalu.
Sudah tentu, trofi ini cukup istimewa buat pemain kelahiran Terengganu ini yang kembali mengukir kejayan individu selepas sekian lama apabila kali terakhir memenangi trofi pada edisi 2020 selaku Pemain Tengah Terbaik selain pernah dinobatkan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2019 ketika bersama JDT menerusi 8 gol.
Sementara itu, Pemain muda Penang FC, Haziq Kutty Abba turut mencuri tumpuan selepas berjaya memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik manakala Anugerah Fair Play pula dimenangi pasukan Melaka FC.
Anugerah berprestij itu yang telah dijenamakan semula sebagai Liga M Awards menyaksikan sebanyak 15 kategori anugerah menjadi rebutan pada edisi ini berbanding 17 kategori pada edisi lalu dengan bintang JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut.
Berikut merupakan senarai pemenang Liga M Awards 2025-2026
1. Penjaga Gol Terbaik: Syihan Hazmi Mohamed (JDT)
2. Pertahanan Terbaik: Quentin Cheng (SEL)
3. Pemain Tengah Terbaik: Afiq Fazail (JDT)
4. Penyerang Terbaik: Faisal Abdul Halim (SEL)
5. Jurulatih Terbaik: Xisco Munoz (JDT)
6. Pemain Import Terbaik: Bergson da Silva (JDT)
7. Pemain Muda Terbaik: Haziq Kutty Abba (PEN)
8. Pemain Paling Bernilai (MVP): Afiq Fazail (JDT)
9. Anugerah Fair Play: Melaka FC
10. Pasukan Terbaik: Johor Darul Ta’zim
11. Gol Terbaik Liga Malaysia 2025-2026: Ramadhan Saifullah Usman (KUC)
12. Kasut Emas Liga Super: Bergson da Silva (JDT) – 27 Gol
13. Kasut Emas Liga Super (Tempatan): Safawi Rasid (KLC) – 13 Gol
14. Penyokong Terbaik: Boys of Straits (JDT)
