Skuad sepak takraw Perlis hasrat lakar sejarah raih emas Sukma

KANGAR: Skuad sepak takraw Perlis berhasrat melakar sejarah baharu negeri ini dengan sasaran meraih satu pingat emas dan perak sempena Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026

Pasukan sepak takraw Perlis itu adalah dari Bongkok Sepak Takraw Club (BSTC) yang bakal membawa nama negeri di temasya dwi tahunan itu.

Pengurus pasukan sepak takraw lelaki Perlis, Mohd Masri Saidin berkata, bagi mencapai sasaran itu, setiap atlet terlibat telah menjalani latihan intensif bermula sejak tahun lepas dalam misi merebut lapan pingat dipertandingkan pada temasya itu.

Mohd Masri berkata, pencapaian terbaik skuad sepak takraw negeri adalah pada temasya Sukma Sarawak 2024 lalu dengan meraih satu pingat perak bagi kategori double wanita dan gangsa bagi kategori quadron lelaki.

“Kita juga harap usaha bersungguh-sungguh ini dapat mencapai impian kita untuk meraih pingat pada Sukma Selangor kali ini,” katanya pada majlis makan malam dan penyampaian sumbangan kepada atlet sepak takraw Perlis ke Sukma di sini semalam.

Temasya Sukma Selangor 2026 bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan melibatkan 474 acara yang merangkumi 37 jenis sukan di 52 venue.

Menurut Mohd Masri, barisan kejurulatihan juga optimis pasukan sepak takraw Perlis mampu menyumbangkan pingat bergantung kepada undian dan prestasi atlet pada hari pertandingan.

“Keadaan dan prestasi atlet sepak takraw negeri juga berada dalam keadaan baik dan kita harapkan ia berterusan sehingga hari pertandingan nanti,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top