Lampung, Indonesia: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menembak mati bekas isterinya di hadapan anak mereka kerana berang mangsa enggan kembali rujuk dengannya, lapor Detik.
Difahamkan, suspek, Abu Rohman, 35, ditahan polis di lokasi persembunyiannya di Ogan Komering Ilir, Sumatera Selatan, semalam.
Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Yanti, 36, dilaporkan ditembak ketika dalam perjalanan pulang di Desa Wiralaga I, Mesuji, Isnin lalu.
Polis berkata, suspek dipercayai mengekori mangsa sebelum menghampirinya dan mengacukan senjata api buatan sendiri pada paha kiri mangsa sebelum melepaskan tembakan.
Tembakan itu menembusi paha kanan mangsa, manakala kejadian berkenaan disaksikan anak mangsa yang berusia 16 tahun.
Anak mangsa kemudian berlari mendapatkan ibunya dan memeluk wanita berkenaan selepas suspek melarikan diri dari tempat kejadian.
Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, menurut polis, suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan mendakwa senjata api terbabit dibuat sendiri sebagai perlindungan diri.
Abu yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau kini berdepan pertuduhan pembunuhan terancang yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika disabitkan kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

