Lim Lip Eng desak audit bebas isu pasport 10 tahun, minta pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menggesa audit bebas dijalankan segera terhadap program pasport Malaysia dengan tempoh sah 10 tahun yang kini digantung, selain menuntut pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Katanya, audit berkenaan perlu mengenal pasti pihak yang mencadangkan, menguji dan meluluskan dasar itu, selain mendedahkan jumlah kos penuh bagi menggantikan pasport yang terjejas.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mesti mengarahkan audit bebas segera untuk mengenal pasti siapa yang mencadangkan, menguji dan meluluskan dasar ini serta mendedahkan kos penuh penggantian pasport yang terjejas.

“Sebanyak 26,000 pasport sudah dikeluarkan sebelum masalah itu diperbetulkan. Jadi, perlu kenal pasti siapa yang meluluskannya, dedahkan kosnya dan pastikan mereka yang bertanggungjawab.

“Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan teknikal,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Lip Eng berkata, kerajaan tidak seharusnya menjadikan pasport rakyat sebagai bahan percubaan, sebaliknya menyifatkan isu berkenaan sebagai kegagalan serius dalam aspek perancangan dan pengujian.

Katanya, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban sebelum ini menjelaskan pasport yang mempunyai tempoh sah melebihi 10 tahun tidak melanggar piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Secara teknikal, kenyataan itu mungkin betul, tetapi ia sama sekali terlepas daripada isu sebenar. Pasport bukan produk ujian. Ia mesti berfungsi dengan lancar apabila rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

“Penjelasan itu juga menimbulkan persoalan yang jelas. Jika pasport dengan tempoh sah melebihi 10 tahun benar-benar boleh diterima, mengapa Jabatan Imigresen secara tiba-tiba menghentikan amalan itu dan menawarkan penggantian secara percuma?

“Agensi kerajaan tidak akan menggantung sesuatu program dan menanggung kos tambahan melainkan jika berlaku kesilapan besar,” katanya.

Lip Eng berkata, kesilapan berkaitan pasport itu turut menyebabkan kerugian kewangan sebenar, dengan pembayar cukai terpaksa menanggung kos bahan dan urusan pentadbiran sebanyak dua kali.

“Rakyat yang tidak bersalah kini terpaksa mengambil cuti dan beratur di kaunter imigresen untuk membetulkan kesilapan yang tidak mereka lakukan,” katanya.

Semalam, Jabatan Imigresen menetapkan tempoh sah maksimum pasport antarabangsa Malaysia kepada 10 tahun berkuat kuasa serta-merta, susulan kesukaran yang dihadapi sesetengah pemegang pasport ketika melakukan daftar masuk dengan syarikat penerbangan di luar negara.

Zakaria berkata pihaknya menyedari laporan tular mengenai rakyat Malaysia yang memiliki pasport dengan tempoh sah melebihi 10 tahun dan menghadapi masalah ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata, jabatan itu mengambil keputusan menyeragamkan tempoh sah maksimum pasport kepada 10 tahun sehingga isu berkenaan dapat diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan dan ICAO.

Katanya, langkah itu turut bertujuan mengelak perbezaan tafsiran oleh syarikat penerbangan berkaitan keperluan tempoh sah pasport tambahan enam bulan bagi perjalanan antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top