hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah premis perjudian yang berselindung di sebalik kedai runcit diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di Selangor, semalam.
Dalam operasi itu, enam warga asing termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan.
JIM berkata, operasi oleh pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan selepas menerima maklumat awam dan risikan pada 3 petang.
Menurutnya, daripada warga asing yang ditahan, seorang daripadanya menjadi ‘penjaga premis’ iaitu wanita warga Indonesia, manakala tiga lelaki Bangladesh dan dua wanita Indonesia dipercayai pekerja.
“Semakan awal mendapati, penjaga premis yang ditahan sudah tinggal lebih masa dan warga asing lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi turut menyita lapan unit tablet, satu pasport Indonesia, satu Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP), salinan lesen perniagaan dan baucar judi,” menurut kenyataan JIM hari ini.
JIM berkata, premis perjudian itu berselindung di sebalik kedai runcit bagi mengelakkan kegiatan dikesan oleh pihak berkuasa.
“Premis perniagaan itu akan mula beroperasi jam 9 pagi hingga 3 pagi keesokan dan kegiatan itu dipercayai beroperasi selama empat bulan,” menurut JIM.
Kenyataan itu berkata, penjaga premis ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan warga asing lain ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. Selain itu, seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Pakistan juga diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
