Sambutan pemeriksaan kesihatan pemandu masih rendah walaupun RM30

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa lebih ramai pemandu menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh selepas sambutan terhadap inisiatif Health Check for Drivers masih rendah walaupun kos ditanggung pemandu hanya RM30.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kos sebenar pemeriksaan kesihatan itu ialah RM85, namun Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberikan subsidi RM55 bagi setiap pemandu.

“PERKESO memberikan subsidi sehingga RM55 kepada setiap pemandu. Jadi kos untuk pemeriksaan itu di klinik-klinik adalah RM85, pemandu hanya perlu membayar RM30 ataupun syarikat perlu hanya membayar RM30.

“Yang selebihnya diberikan subsidi oleh PERKESO,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan MOT, di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, sambutan terhadap program berkenaan masih agak rendah walaupun kos pemeriksaan telah dikurangkan kepada RM30.

“Tidak ramai pemandu menyahut sambutan itu ataupun membuat check-up tersebut secara lebih terperinci,” jelas beliau.

Menurut Anthony, pemandu khususnya mereka yang semakin berusia perlu mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan sebarang masalah kesihatan dapat dikenal pasti lebih awal.

Katanya, pemandu mungkin tidak menyedari mereka mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau tanda-tanda diabetes tanpa pemeriksaan yang sewajarnya.

“Ini demi keselamatan mereka. Kerana kadangkala pemandu-pemandu tidak sedar bahawa mungkin mereka ada rekod kesihatan kerana tak ada pemeriksaan, mungkin darah tinggi, mungkin ada tanda-tanda diabetes dan sebagainya, itu perlu diperiksa lebih awal,” ujar beliau.

Dalam ucapan pada perhimpunan bulanan MOT sebelum itu, Anthony menegaskan kesihatan pemandu merupakan antara faktor penting dalam memastikan keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, kenderaan yang baik dan teknologi canggih tidak akan membawa makna sekiranya pemandu tidak berada dalam keadaan fizikal dan mental yang sesuai untuk memandu.

“Apabila kita menjaga kebajikan pemandu, kita sebenarnya sedang menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Loke berkata, MOT bersama PERKESO melaksanakan inisiatif Health Check for Drivers pada 30 Jun lalu bagi memberi penekanan terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan pemandu, khususnya mereka yang membawa penumpang dan mengendalikan kenderaan perdagangan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mahu mengubah pendekatan pemeriksaan kesihatan pemandu daripada sekadar mendapatkan pengesahan borang kepada pemeriksaan yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, sebelum ini pemandu hanya menyerahkan borang pemeriksaan kesihatan yang disahkan doktor atau klinik, namun pihak berkuasa tidak dapat memastikan sama ada pemeriksaan fizikal secara teliti benar-benar dilaksanakan.

“Kita tak kata tidak, tetapi cuma tidak dapat dipastikan adakah satu pemeriksaan yang teliti dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, MOT bekerjasama dengan PERKESO dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi mengenal pasti panel klinik untuk menggunakan sistem dalam talian.

Melalui sistem itu, doktor perlu memasukkan dapatan pemeriksaan kesihatan pemandu ke dalam sistem yang akan diintegrasikan dengan MySikap.

Jelasnya, apabila pemandu memperbaharui lesen, laporan kesihatan mereka sudah tersedia dalam sistem berkenaan.

Beliau berkata, program itu masih baharu dan lebih banyak usaha kesedaran perlu dilakukan bagi menggalakkan pemandu mengambil inisiatif menjalani pemeriksaan secara komprehensif.

“Jadi kita harap lebih ramai dapat membuat pemeriksaan mereka dengan lebih komprehensif,” katanya.

Scroll to Top