Toronto: Iga Swiatek akhirnya menjejakkan kaki ke final WTA pertamanya musim ini selepas menewaskan Elina Svitolina 6-3, 1-6, 6-3 pada separuh akhir National Bank Open.
Kemenangan itu menamatkan penantian Iga untuk kembali ke aksi final selepas kali terakhir melakukannya di Cincinnati pada 2025.
Pemain Poland berstatus pilihan ketujuh itu kini memiliki rekod mengagumkan apabila memenangi enam final terakhir yang disertainya, selain mencatat 11 kemenangan daripada 13 penampilan dalam perlawanan penentuan kejuaraan sepanjang karier.
Pada aksi final esok, Iga akan berdepan pemenang aksi separuh akhir antara pilihan kedua dari Kazakhstan, Elena Rybakina, dan pilihan keempat, Coco Gauff.
Iga sebelum ini hanya beraksi dalam satu separuh akhir perseorangan musim ini sebelum pertemuan dengan Elina di Toronto, apabila dia tewas kepada pemain Ukraine itu pada kejohanan tanah liat di Rom, Mei lalu.
“Sudah tentu, anda tahu musim ini bukan mudah, malah mungkin yang paling sukar dalam hidup saya.
“Minggu ini benar-benar positif dan memberi inspirasi kepada saya. Ia menunjukkan bahawa anda perlu terus melangkah, tidak kira apa yang berlaku,” kata Iga selepas perlawanan.
Dia turut memberikan penghargaan kepada pasukannya yang terus berada di belakangnya ketika melalui tempoh sukar.
“Saya gembira pasukan menyokong saya ketika waktu paling sukar dan juga ketika masa yang baik. Ia sangat bermakna buat saya.
“Tanpa mereka, sudah tentu saya tidak akan berada di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
