Doktor dibelasah selepas kereta dipandu langgar lembu

LUCKNOW – Seorang doktor kerajaan dibelasah sekumpulan penduduk selepas kenderaannya terlanggar seekor lembu liar di Badaun, Uttar Pradesh, India pada Selasa, lapor The Indian Express.

Polis berkata, Dr Rahul Siddharth, 36, sedang memandu menuju ke pasar apabila kenderaannya terlanggar lembu yang berada di atas jalan.

Penduduk yang berang kemudian didakwa menyeret mangsa keluar sebelum memukulnya meskipun doktor berkenaan merayu supaya dimaafkan.

Rakaman kejadian turut menunjukkan orang ramai memecahkan cermin kenderaannya menggunakan batu dan kayu serta cuba menterbalikkan SUV tersebut.

Polis yang tiba kemudian menyelamatkan mangsa, manakala lembu terbabit dibawa untuk menerima rawatan sebelum mati.

Empat lelaki berusia antara 25 dan 30 tahun ditahan, manakala kes disiasat termasuk atas kesalahan cubaan membunuh dan merusuh.

Pemeriksaan perubatan mendapati doktor berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.- Agensi

Scroll to Top