Demi kepentingan negara, PH yakin DAP terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Demi kepentingan negara, PH yakin DAP terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Pakatan Harapan (PH) menyatakan keyakinan bahawa DAP akan memilih untuk terus bersama Kerajaan MADANI pada Persidangan Kebangsaan parti itu yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Demi kepentingan negara, PH yakin DAP terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan

Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau percaya kepimpinan DAP akan mengambil kira kepentingan negara, khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran kerajaan yang telah dicapai ketika ini.

“Saya percaya kepemimpinan DAP mempunyai kebijaksanaannya sebagai parti yang sudah lama di negara ini.
“DAP tentunya akan meletakkan kepentingan negara dari segi kestabilan politik, selain mempertahan dan meneruskan kesinambungan yang sudah berjalan sangat baik ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilaporkan berkata kedudukan parti itu dalam kerajaan akan ditentukan oleh perwakilan menerusi persidangan yang berlangsung Ahad ini.

Usul berkaitan kedudukan berkenaan dijangka dibentangkan kepada hampir 4,000 perwakilan untuk dibahaskan sebelum keputusan dibuat.

Selain menentukan kedudukan parti dalam kerajaan, persidangan berkenaan turut menjadi platform untuk DAP menetapkan hala tuju politiknya secara bersama dalam menghadapi perkembangan politik tanah air.

Kongres tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 Julai lalu, namun ditangguhkan bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Artikel lain: DAP kekal atau keluar kerajaan? 4,264 perwakilan buat keputusan 16 Ogos ini

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata DAP tidak mempunyai kewajipan untuk menjelaskan kepada PH mengenai keputusan yang bakal dibuat parti itu.

“Tidak menjadi tanggungjawab DAP untuk memberi penerangan kepada PH untuk membuat keputusan selari dasar dan pendekatan politik mereka,” tambahnya lagi.

Scroll to Top