Sultan Selangor zahir bangga kejayaan pegawai PASKAL terbaik kursus sniper di China

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan seorang pegawai Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang muncul penuntut terbaik keseluruhan kursus Sniper Infantry di China.

Baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai terbabit atas pencapaian cemerlang ketika mengikuti kursus berkenaan di Shijiazhuang Campus, PLA Infantry Academy, Hebei, China, dari 1 Mac hingga 31 Julai lalu.

Dalam surat kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain bertarikh 13 Ogos, Sultan Sharafuddin berkata, pegawai itu berjaya dinobatkan sebagai penuntut terbaik keseluruhan kursus Sniper tahun ini.

Baginda berkata, pegawai itu turut dianugerahkan Excellent Student Awards, selain menerima Certificate of Honors – Excellent Cadre serta Silver Badge Medals berdasarkan pencapaiannya dalam penilaian kursus.

“Pencapaian terbaik dari 131 penuntut dari lebih 24 negara merupakan suatu perkara yang harus dibanggakan,” titah baginda dalam surat dikongsi dalam Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Baginda turut berharap kejayaan itu menjadi contoh kepada pegawai dan anggota PASKAL serta warga TLDM lain untuk terus berusaha gigih dalam mengharumkan nama pasukan dan negara.

Sultan Sharafuddin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Zulhelmy serta seluruh warga PASKAL dan TLDM atas pencapaian yang mengharumkan nama Malaysia.

Dalam hantaran di Facebook sama, Istana Selangor memaklumkan nama dan wajah pegawai terbabit tidak didedahkan bagi menjaga kerahsiaan unit PASKAL serta identitinya.

“Kejayaan pegawai berkenaan menyerlahkan keupayaan anggota pasukan khas negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa, selain mengharumkan nama Malaysia dalam bidang ketenteraan,” menurut kenyataan berkenaan.

Scroll to Top