WASHINGTON: Sebuah helikopter Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) terhempas di negeri Texas pada Rabu, mengorbankan dua anggota tentera, menurut pangkalan tentera tempat pesawat itu berpangkalan.
“Helikopter serangan AH-64E Apache yang berpangkalan di Fort Hood terhempas hari ini di Salado. Dua anggota tentera disahkan meninggal dunia,” kata pihak pangkalan dalam satu kenyataan.
“Anggota Fort Hood masih berada di lokasi dan bekerjasama dengan pasukan tindak balas kecemasan tempatan,” tambahnya.
Kenyataan itu tidak memberikan butiran mengenai aktiviti yang sedang dilakukan helikopter tersebut ketika nahas berlaku dan berkata identiti kedua-dua anggota yang meninggal dunia belum akan didedahkan sehingga waris terdekat mereka dimaklumkan.
Nahas helikopter yang meragut nyawa itu berlaku kira-kira dua bulan selepas sebuah pesawat pengebom B-52 Tentera Udara AS terhempas di California, mengorbankan kesemua lapan orang yang berada di dalamnya. – AFP

