SHAH ALAM – Format mesyuarat khas untuk membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) ditukar kepada sesi penerangan menteri telah dinyatakan di dalam surat yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) bertarikh 30 Julai 2026.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, dalam surat itu dinyatakan bahawa urusan mesyuarat bagi Mesyuarat Khas adalah penerangan daripada menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berhubung Laporan RCI Tabung Haji.
Menurutnya, surat itu turut menyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat telah membenarkan ahli-ahli yang berhormat meminta penjelasan dan memberikan pandangan mengenai penerangan daripada menteri.
“Jadi, cerita bahawa tiba-tiba format mesyuarat khas ditukar jadi sesi penerangan menteri tidak seharusnya timbul.
“Cuma, kami di Bersatu berpandangan bahawa tempoh perbahasan satu hari adalah terlalu singkat.
“Jadi, saya menghantar surat kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen supaya sesi dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya dua hari,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, sebahagian besar ahli Parlimen blok pembangkang bertindak keluar dewan selepas usul penangguhan sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan RCI mengenai Lembaga Tabung Haji ditangguhkan, ditolak Speaker, Tan Sri Johari Abdul.
Sebelum sesi penerangan menteri bermula, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN – Kota Bharu) bangkit dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3) susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Mohd Radzi, namun sesi masih ditetapkan sehari tetapi telah ditiadakan waktu rehat.
Jelasnya, bagi ahli-ahli Parlimen Bersatu, ruang untuk berbahas, mendapatkan penjelasan dan memberi pandangan dalam isu berkaitan Tabung Haji adalah amat penting dalam memikul amanah sebagai ahli Parlimen.
“Kami buat persediaan rapi. Setiap daripada kami membaca laporan RCI Tabung Haji dengan teliti.
“Sesi perbincangan turut diadakan untuk meneliti perkara-perkara utama yang hendak disentuh. Fakta-fakta yang ada juga disemak.
“Kami bukan sahaja ingin melihat tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat serta usaha dibuat bagi memperbaiki kelemahan yang ada dalam Tabung Haji,” ulasnya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, perbahasan RCI Tabung Haji ini harus menjadi titik tolak bagi mewujudkan perubahan besar kepada kawal selia untuk semua institusi yang mengumpul dan menjaga dana rakyat.
“Bukan sahaja Tabung Haji, tetapi juga institusi lain Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB),” ujarnya.

