Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menegaskan bahawa kewajipan mengundi PAS dilihat sebagai satu-satunya jalan bagi memastikan aktiviti pengeluaran serta pembaharuan lesen premis perjudian dapat dihentikan.

Memetik laporan malaysiakinini, Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah, berkata pendirian itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan berkaitan pembatalan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi.
Menurutnya, keputusan mahkamah tertinggi negara itu menunjukkan bahawa kuasa berkaitan urusan perjudian berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan PAS di peringkat negeri kini telah berhabis daya, tenaga, dan menggunakan semaksimum mungkin ruang perundangan yang ada bagi menyekat kemungkaran ini.
“Segala usaha telah digembling hingga ke titik batas kuasa (limitasi) di peringkat negeri.
“Memandangkan keputusan mahkamah yang memutuskan punca kuasa sebenar membasmi judi terletak pada akta di peringkat kerajaan pusat, bebanan dan tanggungjawab ini kini telah beralih sepenuhnya ke atas bahu dan tangan pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nor berkata, berdasarkan keputusan berkenaan, setiap pengundi Islam dianggap wajib mengundi dan memberikan sokongan kepada PAS serta rakan kumpulannya bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
“Hanya dengan kuasa di Putrajaya, dasar, akta, dan kelulusan lesen perjudian ini dapat dinoktahkan demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” kata Mohd Nor.
Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Rhodzariah Bujang, bersama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin, membuat keputusan tersebut secara sebulat suara serta mengarahkan kerajaan negeri membayar kos berjumlah RM50,000.
Rhodzariah ketika membacakan keputusan berkata kerajaan negeri tidak berjaya memenuhi syarat ambang yang ditetapkan mengikut Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan permohonan kebenaran merayu itu diluluskan.
Permohonan kerajaan Kedah berkenaan adalah untuk mencabar keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang memihak kepada ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat serta pegawai kanan mereka dalam tindakan mencabar arahan kerajaan negeri.
Mohd Nor berkata DUPP, sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip keluhuran undang-undang, menerima serta menghormati proses perundangan dan keputusan mahkamah yang dibuat berdasarkan kegagalan memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Bagaimanapun, beliau yang juga Speaker DUN Terengganu berkata keputusan itu tidak akan mematahkan perjuangan PAS untuk membanteras kegiatan perjudian, selain menegaskan usaha tersebut bukan sekadar retorik berasaskan sentimen.
Artikel lain: PAS tak terima sebarang tawaran sertai Kerajaan Perpaduan – Takiyuddin
“Sebaliknya, ia menjadi bukti dan petunjuk paling nyata bahawa PAS amat bersungguh-sungguh, bertegas, dan berani mengambil risiko demi menghalang dan menghapuskan aktiviti perjudian.
“PAS telah menterjemahkan janji politik kepada pelaksanaan eksekutif demi mencari keredaan Allah SWT biarpun terpaksa berhadapan dengan tentangan kapitalis judi di mahkamah.
“Judi hakikatnya adalah ‘dajjal kerosakan’ yang paling besar dalam sistem sosial dan kewangan masyarakat pada hari ini. Ia adalah pemusnah institusi kekeluargaan, punca kemuflisan, pencetus jenayah, dan perosak ekonomi umat.
“Malah, amalan perjudian ini ditentang oleh semua agama dan nilai moral yang waras, bukan hanya agama Islam, kerana sifat judi itu sendiri yang menindas, zalim, mengaut keuntungan atas air mata dan kesempitan hidup orang lain, serta sama sekali tidak adil,” tambahnya lagi.
Sumber: malaysiakini

