SHAH ALAM – Keputusan DAP sama ada untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan boleh membawa kesan lebih luas terhadap Pakatan Harapan (PH), dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyifatkan dilema yang sedang dihadapi parti itu sebagai sebahagian daripada krisis politik lebih besar melanda gabungan tersebut.
Bercakap dalam Podcast Top News Sinar Daily: Time to Fix the System, Chean Chung berkata, keputusan DAP untuk mengadakan kongres kebangsaan khas mencerminkan kebimbangan dalam parti berkenaan serta dalam kalangan sebahagian daripada penyokongnya.
Beliau berkata, DAP berkemungkinan berdepan tekanan daripada sebahagian masyarakat Cina, khususnya kerana jangkaan yang diletakkan terhadap parti yang berasaskan majoriti Cina, tetapi bersifat pelbagai kaum itu.
“Saya fikir mereka mempunyai kebimbangan tersendiri dan perkara itu telah mendorong mereka memanggil persidangan ini. Saya sememangnya dapat memahami dan merasakan dari mana datangnya kebimbangan tersebut.
“Saya melihat ini sebagai sejenis ruang perlindungan untuk DAP yang memberikan parti itu peluang untuk bertanggungjawab kepada mereka yang menyokong mereka serta mereka yang mempunyai harapan terhadap parti itu. Namun pada pandangan saya, ia tidak banyak mengubah gambaran yang lebih besar,” katanya.
Chean Chung, yang baru-baru ini meletakkan jawatan daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR0 selepas 18 tahun berkata, sebahagian daripada jangkaan yang diletakkan terhadap DAP adalah realistik, manakala sebahagian yang lain mungkin sukar dipenuhi oleh parti tersebut, sambil menambah bahawa kongres itu boleh memberikan peluang kepada kepimpinan parti untuk menangani kebimbangan berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa cabaran itu bukan hanya terhad kepada DAP, sebaliknya seluruh gabungan PH sedang melalui tempoh yang sukar.
“Bagi saya, seluruh PH, bukan sahaja DAP, berada dalam masalah serius. Saya tidak akan menyebutnya sebagai krisis kewujudan, tetapi ia adalah krisis pada skala yang saya fikir belum pernah mereka alami sebelum ini,” katanya.
Chean Chung berkata, perkembangan pilihan raya baru-baru ini, termasuk keputusan di Negeri Sembilan dan Johor, sepatutnya mendorong pemimpin PH untuk menilai semula kedudukan politik gabungan itu serta hubungannya dengan pengundi secara serius.
“Jika anda ialah Pengerusi PH atau pemimpin DAP, anda sepatutnya berasa bimbang apabila melihat keputusan di Negeri Sembilan dan Johor. Keseluruhan situasi ini memerlukan pertimbangan serius, bukan sahaja oleh DAP tetapi oleh seluruh gabungan,” katanya.
Mengenai sama ada DAP patut menarik diri daripada kerajaan, Chean Chung berkata, keputusan itu akhirnya terletak pada parti berkenaan, walaupun kedua-dua pilihan boleh membawa kesan politik yang besar.
“Ia akhirnya terpulang kepada DAP. Saya tidak boleh membuat keputusan itu untuk mereka, tetapi saya boleh menggariskan beberapa kemungkinan akibatnya,” katanya.
Chean Chung berkata, penarikan diri DAP daripada kerajaan boleh melemahkan pentadbiran dan berpotensi mendekatkan pilihan raya umum (PRU) akan datang, manakala kekal dalam kerajaan boleh membolehkan pentadbiran semasa terus bertahan untuk tempoh yang lebih lama.
“Jika DAP memilih untuk keluar sekarang, kerajaan akan menjadi jauh lebih lemah dan itu boleh mendekatkan pilihan raya. Jika memilih untuk kekal, kerajaan semasa berpotensi meneruskan pentadbiran untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.
Beliau menambah bahawa kesan keputusan DAP akan melangkaui parti itu dan PH kerana parti-parti politik lain juga perlu menilai semula strategi masing-masing.
“Sama ada ia baik atau buruk untuk DAP, PKR, Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) akhirnya merupakan soal perhitungan politik. Parti-parti yang berbeza perlu menilai kesannya berdasarkan kepentingan dan strategi masing-masing,” katanya.
Chean Chung turut melahirkan kebimbangan bahawa persekitaran politik semasa semakin mengecilkan ruang untuk politik progresif.
“Apa yang membimbangkan saya ialah politik progresif kelihatan semakin kehilangan ruang dalam naratif politik yang lebih luas. Pada pandangan saya, itu adalah satu perkembangan yang menyedihkan,” katanya.
DAP dijadual mengadakan kongres kebangsaan khas Ahad ini, dengan para perwakilannya dijangka memutuskan sama ada parti itu patut kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tempoh Parlimen semasa berakhir pada Disember tahun depan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini mengesahkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu telah bersetuju untuk mengadakan kongres tersebut dengan kira-kira 4,000 perwakilan layak mengundi usul berkenaan.
Mesyuarat itu diadakan ketika DAP berdepan tekanan yang semakin meningkat berhubung cara pengendalian kerajaan terhadap kes rasuah, isu kaum dan agama serta kesungguhan pelaksanaan reformasi dijanjikan yang telah menyumbang kepada kebimbangan mengenai sokongan dalam kalangan masyarakat minoriti dan pengundi progresif.
Tekanan itu meningkat susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, apabila PH mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam pilihan raya peringkat negeri, selain Anthony juga kehilangan kerusinya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas 13 tahun.
Anthony kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas kekalahannya di Chennah, manakala ADUN Nilai dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan J Arul Kumar dilantik sebagai pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa 10 Ogos.
Kongres pada 16 Ogos di Putrajaya itu dijangka memberikan petunjuk yang lebih jelas mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan perpaduan serta strateginya menjelang PRU akan datang.
