Dikaitkan isu TH, Asyraf Wajdi nafi terbabit -“Bersungguh nampaknya nak burukkan, bunuh imej saya”

Dikaitkan isu TH,  Asyraf Wajdi nafi terbabit -“Bersungguh nampaknya nak burukkan, bunuh imej saya”

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan terbabit dalam sebarang keputusan Tabung Haji ketika beliau menjadi Timbalan Menteri selepas kehadirannya pada majlis memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju hartanah bermasalah di Arab Saudi, Al-Rawda pada 2017 dipersoalkan.

Asyraf berkata demikian menerusi komen pada hantaran Facebook ‘Unofficial Info’ yang memuat naik gambar beliau menghadiri majlis berkenaan.

“Wah, bersungguh-sungguh nampaknya nak burukkan dan bunuh imej saya dengan cuba kaitkan saya dengan apa juga isu Tabung Haji.
“Untuk pengetahuan, saya diminta menjadi Ketua Jemaah Haji Malaysia pada tahun 2017 menggantikan YB menteri.
“Kebetulan saya ada di Makkah, maka saya dijemput mewakili menteri menghadiri majlis tersebut,” katanya.

Dikaitkan isu TH,  Asyraf Wajdi nafi terbabit -“Bersungguh nampaknya nak burukkan, bunuh imej saya”

Gambar berkenaan menunjukkan Asyraf bersama Pengerusi Tabung Haji ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa pihak lain pada majlis pemeteraian perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Makkah selama 10 tahun antara Tabung Haji dengan Al-Rawda.

Perjanjian awal membabitkan pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017, dengan Tabung Haji membayar 1.4 bilion riyal Arab Saudi atau kira-kira RM1.5 bilion kepada pihak perantara untuk memajak empat hotel di Makkah dan Madinah.

Bagaimanapun, Al-Rawda yang sepatutnya mengendalikan hotel berkenaan dan membayar Tabung Haji 2.49 bilion riyal Arab Saudi sebagai hasil sewaan, gagal membuat bayaran mulai suku pertama 2019.

Susulan itu, Tabung Haji merekodkan kemerosotan nilai penuh sebanyak RM1 bilion pada 2024.

Asyraf turut menegaskan bahawa Timbalan Menteri tidak mempunyai kuasa terhadap operasi atau proses kelulusan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, termasuk Tabung Haji.

Menurutnya, berdasarkan Akta Tabung Haji, pentadbiran dan operasi agensi itu diuruskan Ketua Pegawai Eksekutif serta pihak pengurusan, manakala Pengerusi dan Lembaga Pengarah berperanan sebagai semak dan imbang.

Katanya, Pengerusi dan Lembaga Pengarah turut menentukan dasar serta meluluskan polisi utama sebelum Menteri membuat keputusan akhir berdasarkan syor Lembaga Pengarah dan pengurusan.

Asyraf berkata, perkara itu juga menjelaskan mengapa beliau tidak pernah dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau mana-mana agensi penguat kuasa berhubung isu tersebut.

“Sebab itulah daripada awal sebagai Timbalan Menteri saya tidak pernah dipanggil hatta untuk disoal siasat samaada oleh Suruhanjaya DiRaja mahupun pihak Berkuasa samaada polis, SPRM mahupun LHDN, kerana saya bukan pihak yang punya sebarang kuasa atau terlibat secara langsung ataupun tidak.
“Bahkan Laporan RCI Tabung Haji juga tidak langsung menyebutkan dan membabitkan saya sebagai Timbalan Menteri,” ujar beliau.

Persoalan mengenai penglibatan Asyraf timbul selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos bahawa Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd mencatatkan kerugian terbesar antara 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji.

Kesemua pelaburan itu mengakibatkan kerugian hampir RM13 bilion, termasuk RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi penyelamatan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd pada 2018 serta RM2.6 bilion kerugian kemerosotan nilai ditanggung Tabung Haji antara 2018 hingga 2025.

Artikel lain: RCI TH: Jangan hanya main persepsi! Ambil tindakan jika benar ada salah laku, rasuah – Asyraf Wajdi

Amir Hamzah berkata Jabatan Pengurusan Risiko Tabung Haji sebelum itu telah meminta jaminan bank bagi pelaburan Al-Rawda, namun jaminan berkenaan gagal disediakan, manakala laporan usaha wajar juga tidak lengkap.

Bagaimanapun, kepimpinan Tabung Haji ketika itu tetap meneruskan urus niaga berkenaan hanya bersandarkan nota janji, sekali gus meletakkan lebih RM1.5 bilion dana pendeposit dalam pelaburan tanpa cagaran bernilai.

“Apa yang ada dalam tangan Tabung Haji hanyalah nota promissory (nota janji)… Ini urus niaga yang terang-terang cacat sejak awal, berat sebelah dan gagal melindungi kepentingan umat Islam Malaysia,” katanya.

Amir Hamzah berkata pihak penyiasat perlu menentukan siapa yang mendapat manfaat daripada transaksi itu dan kepentingan siapa yang sebenarnya dilindungi.

Sumber: FB Unofficial Info

Scroll to Top