Ketuk murid, pukul ibunya guna tongkat, guru ditahan

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Seorang guru lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang murid dan ibunya menggunakan tongkat dalam dua kejadian berasingan, kelmarin dan semalam.

Guru berusia 54 tahun itu ditahan semalam susulan laporan dibuat oleh seorang wanita yang juga ibu kepada seorang murid di sebuah Sekolah Kebangsaan di Pasir Mas yang didakwa dipukul dengan menggunakan tongkat di bahagian paha oleh guru berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menerima laporan polis berkaitan kejadian pada jam 11.43 pagi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada 11 Ogos, wanita itu menerima aduan bahawa anaknya diketuk di bahagian kepala dengan tongkat oleh seorang guru ketika berada di sekolah tanpa mengetahui punca.

“Wanita itu memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah dan guru besar kemudian mengadakan perjumpaan pada 12 Ogos bagi membincangkan perkara itu secara bersemuka.

“Satu pertemuan di antara guru lelaki dan wanita itu diadakan di pejabat sekolah dengan disaksikan oleh guru besar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika sesi perbincangan, guru berkenaan secara tiba-tiba menengking lalu memukul wanita itu di bahagian paha sebelah kanan dengan menggunakan tongkat.

Katanya, kejadian itu disaksikan oleh guru besar yang tidak menjangka guru lelaki itu bertindak sedemikian dan menyebabkan wanita itu berasa takut dan terus melarikan diri.

“Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera menggunakan senjata, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

“Guru lelaki berkenaan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh

mendatangkan kecederaan kepada orang lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top