mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anggota kumpulan XPDC Kita Peng Yu (KPY) memaklumkan terkejut dengan penahanan semula pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah pada 7 Ogos lalu.
Kumpulan yang dianggotai Ary (vokalis), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) turut menzahirkan perasaan simpati kerana Ismahalil dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun.
“Dia (Ismahalil) juga memerlukan jumlah yang banyak bagi kos guaman untuk membawa kes ke Mahkamah Persekutuan selepas ini.
“Kami akan cuba membantu seberapa yang mampu dalam kes ini. Insya-Allah kita akan cuba buat yang paling terkini. Macam show ini kita mungkin ada tabung untuk membantu.
“Mungkin ada sedikit bahagian dari jualan tiket kami akan dermakan pada Bapakku FM,” kata mereka pada sesi latihan akhir Konsert Headbang Live & Loud di Taman Melawati, di sini, hari ini.
Konsert yang turut menampilkan Jatt dan Yan Lefthanded di Odeon KL akan berlangsung pada 22 Ogos ini.
Sementara itu pengurus mereka, Yazid Selamat mengakui Ismahalil banyak berjasa terhadap XPDC KPY.
“Dia memang sering bersama kami sejak dulu. Show di Sarawak pun dia ada dengan kami. Pernah ketika Covid-19 kami tak boleh buat show rentas kawasan.
“Jadi saya bincang dengan Ismahalil dan dia minta XPDC KPY datang ke konti dan buat sesi jamming secara live. Dia buat kutipan dan tak sangka banyak juga yang dapat,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskan Ismahalil daripada pertuduhan mengedar dadah, sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadapnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




