mohamadridzuan@hmetro.com.my
TAHUN lalu, The Zikr mengeluarkan lagu Mengemis Kasih yang menampilkan kolaborasi dengan Yabang (bekas vokalis Khalifah).
Kali ini, kumpulan dianggotai Nazrey Johani, Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan dan Rosdi Zaharia tampil memberi nafas baharu kepada lagu Kawan, karya yang pernah dimuatkan dalam album Kenangan pada 1993.
Selepas lebih tiga dekad, lagu itu dirakam dan dinyanyikan semula dengan susunan muzik serta kualiti rakaman lebih segar, tanpa menghilangkan jiwa dan mesej asalnya.
Wakil The Zikr, Syamsul Masri atau Syam berkata, lagu terbabit dipilih untuk diperkenalkan semula kerana mesej mengenai persahabatan, kesetiaan dan perjalanan hidup masih relevan sehingga hari ini.
“Lagu Kawan pernah dimuatkan dalam album Kenangan pada 1993. Selepas lebih 30 tahun, kami mahu memberikan nafas baharu kepada lagu ini dengan susunan muzik dan kualiti rakaman yang lebih segar.
“Walaupun diberikan pembaharuan, kami masih mengekalkan jiwa serta mesej asal lagu ini kerana setiap orang pasti mempunyai seorang sahabat yang pernah bersama ketika susah dan senang.
“Kami mahu memperkenalkan lagu ini kepada generasi baharu, selain mengembalikan nostalgia kepada peminat yang pernah mendengarnya pada era 1990-an,” katanya.
Menurutnya, sebagai pengenalan awal, video lirik rasmi Kawan dilancarkan pada 17 Julai lalu menerusi platform media sosial dan saluran digital rasmi The Zikr.
“The Zikr juga sudah menjalani penggambaran video muzik lagu ini pada 23 Julai lalu di Kainsal, Melaka, sebuah lokasi menarik yang dipilih kerana suasana dan pemandangannya bersesuaian dengan konsep lagu berkenaan.
“Konsep video muzik ini memberi penekanan kepada nilai persahabatan. Kami mahu menghasilkan sesuatu yang sederhana, tetapi mempunyai jiwa dan mampu menyentuh hati penonton,” katanya.
Sehari selepas penggambaran video muzik itu, The Zikr diundang mengadakan persembahan di Masjid Selat Melaka pada 24 Julai lalu sempena program Hembusan Bayu Kesenian Islam.
Syam berkata, jemputan itu menjadi antara peluang terbaik buat The Zikr kembali bertemu peminat, khususnya masyarakat di Melaka.
“Selepas penggambaran video muzik Kawan pada 23 Julai, kami meneruskan perjalanan ke Masjid Selat Melaka bagi menjayakan program Hembusan Bayu Kesenian Islam pada keesokannya.
“Kami amat menghargai jemputan ini dan gembira apabila dapat mempersembahkan lagu-lagu The Zikr kepada pengunjung yang hadir,” katanya.
Dalam perkembangan lain, The Zikr turut merancang untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar pada tahun depan sebagai usaha mengembalikan semula kegemilangan kumpulan berkenaan.
Syam berkata, perbincangan awal sudah dilakukan bersama beberapa pihak, namun The Zikr masih membuka ruang kepada mana-mana penganjur, syarikat atau penaja yang berminat untuk bekerjasama menjayakan konsert itu.
“Insya-Allah, kami sedang merancang sebuah konsert berskala besar pada tahun hadapan. Kami sudah berbincang dengan beberapa pihak dan masih mencari penganjur serta rakan kerjasama yang benar-benar berminat untuk menjayakannya bersama The Zikr.
“Kami mahu konsert itu menjadi satu pertemuan istimewa dengan peminat yang masih setia mengikuti perjalanan dan lagu-lagu The Zikr sejak dahulu sehingga sekarang,” katanya.
Syam turut mengakui The Zikr menerima banyak pertanyaan mengenai pembabitan Nazrey Johani dalam projek khas bersama kumpulan The Rayhan.
Menurutnya, sepanjang tahun ini Nazrey agak sibuk dengan beberapa perancangan bersama The Rayhan termasuk persembahan, konsert dan projek lain.
“Ramai yang bertanya dan ada juga yang melahirkan rasa simpati kepada kami kerana ketika The Zikr baru hendak bangkit semula, muncul pula sebuah lagi kumpulan yang turut disertai Nazrey.
“Mungkin peminat melihat sejarah seperti berulang. Dahulu, daripada perjalanan The Zikr, lahirnya kumpulan Raihan yang kemudiannya mencipta nama besar dalam industri nasyid.
“Sekarang, ketika The Zikr sedang berusaha untuk kembali aktif dan membina semula namanya, daripada perjalanan The Zikr juga muncul pula The Rayhan,” katanya.
Syam berkata, pada peringkat awal, ahli The Zikr tidak menafikan bahawa mereka sedikit terasa dengan perkembangan itu.
“Sejujurnya, pada mulanya memang kami agak terasa kerana The Zikr baru hendak naik dan kembali aktif. Namun, kami sedar setiap manusia mempunyai perjalanan dan rezeki masing-masing yang sudah ditentukan oleh Allah.
“The Rayhan ialah sebahagian daripada rezeki Nazrey dan rakan-rakannya. Takkanlah kami mahu menyekat rezeki yang sudah tertulis untuk mereka.
“Kami menghormati keputusan dan perjalanan mereka. Sebagai sahabat, kami tetap mendoakan semoga segala perancangan mereka berjalan lancar,” katanya.
Katanya, The Zikr tidak mahu perkara itu menjadi punca perpecahan atau perselisihan antara mereka.
“Persahabatan tetap persahabatan. Bagi kami, setiap orang mempunyai ruang dan jalan masing-masing untuk terus berkarya.
“Insya-Allah, kami akan bangkit semula dan berusaha dengan lebih kuat untuk mengembalikan peminat kepada lagu-lagu The Zikr.
“Kami mempunyai banyak lagu yang masih dekat di hati peminat dan mahu menghidupkan semula karya-karya itu, selain menghasilkan karya baharu yang sesuai dengan generasi hari ini tanpa menghilangkan identiti, mesej dakwah dan jiwa asal The Zikr,” katanya.
Menurutnya, setiap cabaran yang dilalui akan menjadikan The Zikr lebih kuat dan matang dalam meneruskan perjalanan seni mereka.
“Selagi ada usaha, doa dan sokongan peminat, kami percaya perjalanan The Zikr masih panjang.
“Kami berharap perancangan konsert berskala besar pada tahun hadapan dapat direalisasikan dengan kerjasama pihak penganjur, syarikat, penaja dan rakan industri yang mempunyai visi sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
