amir_hamid@mediaprima.com.my
Pelancaran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 baru-baru ini, oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menandakan fasa baharu dalam landskap hartanah negara.
Sasaran membina sejuta rumah mampu milik menjelang 2035 dilihat sebagai bukan sekadar mengejar angka, tetapi meletakkan ‘kemanusiaan’ sebagai tunjang pembangunan.
Bagi mengupas impak dan hala tuju dasar ini, ruangan P&P minggu ini membawakan ulasan mendalam daripada dua perspektif berbeza berkaitan dasar ini.
Pensyarah Kanan di bahagian Perancangan Bandar dan Wilayah, Pembangunan Keselamatan dan Komuniti, serta Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) PLC Gs Ts Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata, sasaran sejuta rumah mampu milik adalah visi yang besar.”Namun, ia perlu diterjemahkan kepada campuran jenis kediaman yang berasaskan keperluan sebenar rakyat, bukannya produk seragam.
“Pendekatan ‘one size fits all’ tidak lagi relevan kerana keperluan seorang individu bujang, pasangan muda dan keluarga besar adalah jauh berbeza,” katanya.
Menurut Mohammad Mujaheed, kita memerlukan sebuah rangkaian perumahan yang menyeluruh merangkumi skim sewaan mampu milik, rumah transit, sewa untuk dimiliki, sehinggalah kepada pemilikan penuh bagi memastikan setiap lapisan rakyat mempunyai akses mengikut fasa kehidupan mereka.
Berkaitan harga, Mohammad Mujaheed berkata, RM300,000 yang ditetapkan sebagai siling nasional dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) tidak seharusnya dianggap sebagai harga sasaran tetap di semua lokasi.
“Harga rumah mestilah mempunyai hubungan yang munasabah dengan pendapatan median penduduk setempat bagi menjamin kemampuan,” katanya.
Menurut Mohammad Mujaheed, data menunjukkan jurang pendapatan yang ketara antara negeri, misalnya Selangor dan Kelantan yang menyebabkan sepatutnya penetapan harga rumah perlu lebih bersasar mengikut lokaliti.
“Bukannya satu harga seragam untuk seluruh negara bagi mengelakkan beban kewangan melampau kepada pembeli,” katanya.
Selain itu, katanya, isu kemampuan sebenar perlu diberi perhatian, khususnya pembeli kelak bukan sekadar perlu layak mendapat pinjaman, tetapi mereka mesti mampu menanggung ansuran, kos penyelenggaraan dan utiliti tanpa menjejaskan keperluan asas kehidupan yang lain.
Mohammad Mujaheed berkata, melihat kepada data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat lambakan rumah siap tidak terjual dalam kategori RM300,000 ke bawah.
“Ini sekali gus membuktikan bahawa harga dikatakan rendah semata-mata tidak menjamin jualan jika produk berkaitan tidak memenuhi permintaan pasaran atau dibina di lokasi yang salah.
“Dalam aspek lokasi, prinsip ‘lokasi yang tepat’ adalah kritikal. Pembangunan harus tertumpu di kawasan yang mempunyai tekanan permintaan tinggi dan aksesibiliti yang baik ke pusat pekerjaan, bukannya membina di tanah murah yang jauh daripada kemudahan pengangkutan awam,” katanya.
Berkaitan aspek untuk memastikan hanya golongan layak mendapat manfaat pula, beliau berpandangan, penilaian berasaskan keperluan perlu dilaksanakan.
Mohammad Mujaheed berkata, kelayakan tidak boleh diukur melalui pendapatan sahaja, tetapi harus mengambil kira bilangan tanggungan dan status pemilikan hartanah sedia ada.
“Saya mencadangkan prinsip ‘Sahih, Padan dan Pantau’. Kerajaan perlu memperkukuh ekosistem digital seperti platform TEDUH (Transforming and Empowering Data Usage in Housing) untuk menyemak silang data pemohon dan memantau pematuhan selepas kunci diserahkan bagi mengelakkan aktiviti spekulasi.
“Akhir sekali, isu saiz rumah tidak boleh diabaikan. Kita perlu beralih daripada sekadar mengurangkan saiz kepada saiz yang tepat. Rumah mampu milik bukan bermaksud rumah paling kecil, tetapi rumah yang berdaya huni dan selesa untuk sebuah keluarga berkembang,” katanya.
Sementara itu, bagi bakal pembeli, Muhammad Hafiz Ahmad Nazri, sebagai rakyat yang berada dalam kumpulan pencari rumah, dia melihat DRN 2026-2035 sebagai perlu menggunakan model pelbagai kategori.
Muhammad Hafiz, 38, yang bertugas sebagai pustakawan berkata, tidak wajar jika rumah mampu milik hanya ditawarkan dalam bentuk studio atau satu bilik kerana ia tidak menyelesaikan isu perumahan bagi mereka yang berkeluarga.
“Saya mencadangkan pembahagian kategori yang lebih jelas, bermula daripada rumah asas untuk golongan B40, rumah mampu milik keluarga untuk M40, sehinggalah rumah khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang perlu mementingkan reka bentuk bersesuaian.
“Daripada segi harga, saya berharap kerajaan menetapkan julat yang lebih realistik mengikut zon. Contohnya, harga di luar bandar wajar berada sekitar RM80,000 ke RM180,000, manakala di bandar besar seperti Kuala Lumpur, ia boleh mencapai had siling RM300,000.
“Penetapan harga ini sangat penting kerana rumah berharga RM300,000 mungkin dianggap mampu milik bagi sesetengah pihak tetapi tidak daya bagi ketua isi rumah yang lain,” katanya.
Menurutnya, keutamaan pembangunan juga harus diberikan berdasarkan ‘Housing Need Index’ di lokasi kritikal seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang.
Dia turut mencadangkan akses kepada Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) perlu diperluaskan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus unit adalah untuk rumah mampu milik.
“Untuk memastikan ketelusan, saya mencadangkan diwujudkan Sistem Pemadanan Perumahan Nasional. Setiap pemohon diberikan ‘Housing Eligibility Score’ (HES) yang mengambil kira faktor pendapatan, bilangan tanggungan dan jarak tempat kerja untuk menentukan keutamaan secara automatik.
“Langkah anti-spekulasi juga perlu diperketatkan. Dasar ‘Satu Isi Rumah, Satu Rumah Bersubsidi’ perlu dikuatkuasakan dengan larangan jual semula untuk tempoh 10 tahun bagi memastikan rumah itu tidak dijadikan komoditi pelaburan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Katanya lagi, integrasi data antara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rekod hartanah kerajaan negeri sangat diperlukan untuk menyaring pembeli proksi.
“Jika didapati rumah disewakan secara komersial, kerajaan harus mengenakan penalti berat atau menarik balik unit berkenaan,” katanya.
Muhammad Hafiz juga menegaskan, sebagai pembeli, pastinya dia mahukan rumah yang praktikal.
“Saiz minimum yang dicadangkan ialah antara 850 hingga 1,000 kaki persegi bagi unit tiga bilik. Rekonfigurasi ruang yang mempunyai pengudaraan dan pencahayaan semula jadi yang baik adalah kunci kepada kesejahteraan mental dan kualiti hidup penghuni,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
