bisnes@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia perlu mempercepat pengeluaran jurutera dan juruteknik berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri pusat data yang berkembang pesat susulan peningkatan pelaburan dalam sektor berkenaan.
Ketua Perunding Pusat Data, Lee Cheng Pay berkata, Malaysia ketika ini mempunyai tenaga kerja tempatan yang mencukupi untuk menyokong industri pusat data, namun kemasukan pelaburan baharu dijangka meningkatkan permintaan terhadap jurutera dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
“Buat masa ini, tenaga kerja tempatan mencukupi, tetapi dengan perkembangan industri di negara ini, kita perlu melahirkan lebih ramai jurutera.
“Di sinilah peluangnya. Institusi swasta dan institusi kejuruteraan perlu bekerja keras memperkukuh program kejuruteraan bagi menghasilkan lebih ramai jurutera dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang supaya dapat memenuhi keperluan industri,” katanya pada pratonton Pameran dan Persidangan Engineer & Marvex 2026, di sini, semalam.
Lee berkata, kemasukan jurutera asing pada peringkat awal pembangunan industri pusat data di Malaysia turut membantu jurutera tempatan memperoleh pendedahan terhadap teknologi canggih serta amalan industri.
“Secara beransur-ansur, kita dapat melihat peralihan itu. Jurutera asing bekerjasama dengan jurutera Malaysia dan mereka mula memperoleh pengetahuan serta teknologi baharu.
“Bagaimanapun, saya percaya industri ini memerlukan kumpulan bakat yang lebih luas, bukan hanya jurutera, terutama kerana pusat data membabitkan sistem kuasa, penyejukan dan operasi yang sangat kompleks,” katanya.
Pameran dan Persidangan Engineer & Marvex 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 22 hingga 25 September ini.
Pameran itu akan meliputi lima dewan dengan keluasan 9,700 meter persegi dan menampilkan lebih 1,000 penyelesaian mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pemanasan, pengudaraan, penyaman udara dan penyejukan (HVAC&R), selain penganjuran serentak DCX Asia (Data Centre Exhibition Asia).
Acara berkenaan turut menampilkan demonstrasi secara langsung membabitkan infrastruktur pusat data, sistem penyimpanan tenaga bateri serta inovasi HVAC bagi bangunan pintar dan hijau.
Selain itu, lebih 100 jam sesi perkongsian ilmu akan diadakan dengan penyertaan lebih 150 penceramah tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Lee berkata, perkembangan projek pusat data dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dijangka membuka peluang besar dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, latihan, operasi serta penyelenggaraan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Malaysia sebenarnya mempunyai ramai jurutera dan sistem pendidikan kejuruteraan yang baik, namun dari segi kapasiti manusia, kita mempunyai tenaga yang mampu menyediakan perkhidmatan kepada industri pusat data.
“Namun, apabila industri berkembang dengan begitu pantas, sektor kejuruteraan, khususnya institusi pengajian tinggi, perlu melahirkan lebih ramai jurutera untuk memenuhi keperluan pertumbuhan akan datang. Itu antara cabaran yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, peluang yang terhasil daripada ledakan pusat data bukan hanya tertumpu kepada pembinaan kemudahan berkenaan, sebaliknya merangkumi keseluruhan ekosistem sokongan.
Katanya, permintaan terhadap syarikat tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyedia perkhidmatan profesional, kontraktor, jurutera serta tenaga penyelenggaraan turut meningkat bagi menyokong operasi pusat data.
“Pusat data bukan sekadar bangunan, kita perlu melihat keseluruhan sistem termasuk penggunaan tenaga dan air, sistem penyejukan, penyimpanan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, operasi dan penyelenggaraan.
“Jadi, peluang untuk syarikat kejuruteraan tempatan sangat besar kerana keseluruhan ekosistem ini memerlukan kepakaran dan perkhidmatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
