am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun hampir kehilangan penglihatan mata kanannya selepas mengalami masalah penglihatan yang semakin teruk sejak lebih setahun lalu.
Nur Adelia Azzahra Mohd Rusli, 8, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Marak, pada awalnya hanya mengadu penglihatannya kabur sebelum keadaan itu semakin teruk sehingga mata kanan langsung tidak dapat melihat.
Ibunya, Aida Che Mustafa, 44, berkata, perubahan terhadap penglihatan anak ketiga daripada empat beradik itu mula disedari sejak Mei tahun lalu apabila kerap mengadu tidak dapat melihat dengan jelas.
“Pada awalnya, saya menyangka masalah itu berpunca daripada rabun dan beberapa kali Nur Adelia Azzahra meminta supaya ‘dibuatkan’ cermin mata.
“Pada Jun tahun lalu, ada pemeriksaan mata ketika program di sekolah dan Nur Adelia Azzahra pergi ke sebuah reruai pemeriksaan mata kerana ketika itu dia sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada mata kanannya,” katanya ketika ditemui di Wad Surgeri Pediatrik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.
Katanya, dia hanya menyangka anaknya itu sekadar rabun dan mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan mata dengan HPUSM sebelum ‘membuat’ cermin mata.
Katanya, tidak beberapa lama selepas itu, pihak sekolah memaklumkan ada pemeriksaan mata akan dilakukan pihak HPUSM di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok dan Nur Adelia terpilih.
“Ketika pemeriksaan, doktor memaklumkan mata kanannya sudah tidak dapat melihat dan perlu dirujuk ke hospital. Saya bersama suami, Mohd Rusli Rajab, 43, kemudian membawa Nur Adelia Azzahra ke HPUSM untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Setelah diberitahu besar kemungkinan Nur Adelia Azzahra menjadi buta menyebabkan saya berasa sangat tertekan kerana tidak pernah menyangka masalah penglihatan itu berpunca daripada sesuatu yang lebih serius.
“Pada masa sama, saya juga terkejut dan menangis tanpa henti apabila diberitahu peratusan penglihatan anak Nur Adelia Azzahra sudah terjejas. Saya tidak dapat menerima keadaan itu kerana bimbang terdapat ketumbuhan yang mungkin merebak hingga ke otak dan menyebabkan dia terus kehilangan penglihatan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan empat hari lalu mengesan masalah pada bahagian hidung yang dipercayai menjadi punca penglihatan mata kanan anaknya terjejas.
“Hasil pemeriksaan melalui ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan terdapat masalah pada hidung yang menyebabkan mata sebelah kanan tidak dapat melihat.
“Selepas itu, pemeriksaan lanjut termasuk imbasan CT Scan dilakukan untuk mengetahui keadaan yang sebenar sebelum anak saya menjalani pembedahan pada Khamis lalu. Alhamdulillah, sehari selepas pembedahan, mata kanan anak saya dapat melihat semula,” katanya dalam nada sebak.
Aida berkata, dia amat bersyukur selepas melihat anaknya kembali dapat melihat dan berharap pengalaman berkenaan menjadi peringatan kepada ibu bapa supaya tidak mengambil ringan sebarang perubahan pada penglihatan anak.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila anak saya sudah boleh melihat kembali. Saya tidak sangka selepas melalui keadaan yang begitu menakutkan, akhirnya dia diberi peluang untuk melihat semula,” katanya.
Sementara itu, Pakar Bedah Pediatrik, Telinga, Hidung dan Tekak (ORL-HNS) HPUSM, Dr Azliana Aziz berkata, Nur Adelia mengalami radang sinus sphenoid sebelah kanan yang memberi kesan kepada saraf penglihatannya.
Beliau berkata, keadaan yang berlaku pada Nur Adelia Azzahra adalah kes pertama yang dikendalikan pihaknya membabitkan kanak-kanak dengan masalah berkenaan sehingga menyebabkan kehilangan penglihatan sebelah mata.
“Berdasarkan keadaan yang dialaminya, Nur Adelia Azzahra sepatutnya sudah kehilangan penglihatan kekal pada mata kanannya selepas mengalami masalah berkenaan lebih enam bulan.
“Namun, selepas menjalani pembedahan dan rawatan yang diberikan, dia kini dapat melihat kembali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

