Islam sedia 'ajar' Garry

Philadelphia: Pertarungan kelas welterweight UFC 330 pada pada Ahad ini semakin hangat apabila juara baharu, Islam Makhachev bersedia mempertahankan tali pinggangnya menentang pencabar yang sedang meningkat naik, Ian Machado Garry dalam aksi utama di Xfinity Mobile Arena, Philadelphia.

Perang mulut tercetus pada sidang media pra-pertarungan di hadapan penyokong Philadelphia yang riuh-rendah apabila kedua-dua petarung elit itu saling melontarkan kata-kata pedas mengenai kehebatan gusti Dagestan berbanding keunggulan seni tumbukan Ireland.

Walaupun tiada masalah keselamatan ketika sesi bertentang mata secara rasmi, ketegangan antara juara dan pencabar itu menjadi kemuncak minggu pertarungan berprofil tinggi di Philadelphia.

Jika menang, Islam dari Rusia akan memecahkan rekod 16 kemenangan UFC berturut-turut milik legenda Brazil, Anderson Silva.

Silva memegang gelaran middleweight bermula pada 2006 selepas menewaskan Rich Franklin menerusi kalah mati di UFC 64 sebelum kehilangan tali pinggang kepada Chris Weidman di UFC 162 pada 2013.

Dalam tempoh itu, Silva berjaya mempertahankan gelaran sebanyak 10 kali dan dianggap antara petarung terbaik pada eranya.

Islam pula yakin rentak kemenangannya masih akan berterusan untuk tempoh yang panjang.

“Minimum 20 (kemenangan),” kata Islam kepada pemberita.

Garry pantas membalas dengan mempersenda kehebatan gusti juara itu sambil memberi jaminan bahawa pergerakan kaki dan serangannya akan menamatkan status Makhachev sebagai petarung ‘pound-for-pound’ terbaik.

“Tiada siapa boleh mengambil impian saya daripada saya.

“Setiap seorang daripada anda akan berubah dan selepas ini sorakan anda akan menjadi ‘Let’s Go Garry’,” kata Garry sebagai reaksi terhadap kenyataan Islam sebelum pertarungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top