Tiada had masa cuti buat Nurul Izzah

MELAKA: PKR tidak menetapkan sebarang tempoh kepada Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar untuk bercuti bagi menyambung pengajian selepas selesai Kongres Nasional PKR 2026.

Nurul Izzah juga akan kekal memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR sepanjang tempoh bercuti. 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, parti bersedia menunggu sehingga Nurul Izzah bersedia untuk kembali menjalankan tugasnya.

“Setakat ini, kita tidak memberi had masa kepada Timbalan Presiden untuk bercuti kerana beliau ingin menyambung pelajarannya dan Insya-Allah kita sedia apabila beliau bersedia untuk meneruskan tugas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Fuziah, Nurul Izzah mula bercuti selepas menyelesaikan segala tanggungjawabnya sepanjang Kongres Nasional PKR 2026.

“Timbalan Presiden akan bercuti selepas Kongres. Ya, (beliau akan) menyelesaikan tugas sewaktu Kongres.

“Selepas kongres, penggulungan dan sebagainya baru Timbalan Presiden akan bercuti,” katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata, Kongres Nasional PKR 2026 yang bertemakan ‘Memugar Reformasi, Membina Madani’ membuka tirainya hari ini dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR.

Kongres Nasional yang bermula esok akan disertai seramai 2,594 perwakilan, manakala setakat semalam, sebanyak 1,773 pemerhati telah mendaftar.

“Jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan pendaftaran secara walk-in masih dibuka sehingga esok.

“Selain itu, seramai 1,599 perwakilan AMK dan 1,200 perwakilan Wanita akan menjadi pemerhati pada Kongres Nasional selepas selesai kongres sayap masing-masing,” katanya. 

Fuziah berkata, setakat ini, sebanyak 25 kedutaan asing turut menyatakan persetujuan untuk menghadiri Kongres Nasional berkenaan.

Katanya, perbahasan kongres akan melibatkan usul ucapan dasar Presiden selain empat usul dikemukakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP). – UTUSAN

Scroll to Top