ROM: Imej menakjubkan lahar yang mengalir menuruni lereng Gunung Etna yang sedang meletus telah menarik ramai pelancong ke gunung berapi di Itali. Situasi itu kemudian menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemandu pelancong tempatan.
Gunung Etna, gunung berapi aktif tertinggi di Eropah telah memuntahkan abu dan lahar selama beberapa hari, menyebabkan Lapangan Terbang Catania yang berdekatan ditutup.
Lapangan terbang itu merupakan pintu masuk utama bagi pelancong yang mengunjungi pulau Sicily.
Beberapa syarikat menganjurkan pendakian pada waktu malam bagi membolehkan peserta menyaksikan letusan dari jarak dekat, berkata, mereka menerima panggilan yang mencurah-curah.
“Mereka semua mahu datang dan melihat aliran lahar, semua orang tertarik dengan keindahan yang unik ini,” kata Daniele Perricelli, 41, seorang pemandu tempatan, kepada AFP pada Rabu.
Syarikat Guide Etna, tempat Perricelli bekerja, berkata, beliau membawa berpuluh-puluh pengunjung mendaki gunung berapi itu setiap petang. Namun, katanya, syarikatnya kini menerima kira-kira 300 permintaan sehari, tiga kali ganda berbanding jumlah pada hari biasa ketika musim panas.
Ernesto Maria Magri, seorang lagi pemandu pelancong tempatan, menyifatkannya sebagai “letusan yang menarik kedatangan pelawat’ kerana ia boleh disaksikan dalam keadaan yang agak selamat.
Walaupun gunung berapi itu kerap meletus, katanya, ramai penduduk tempatan turut mendaki untuk melihat lahar dan kadangkala berkumpul secara tidak teratur.
“Sehingga 2,000 orang mendaki setiap petang, laluan pejalan kaki terlalu sesak,” katanya.
“Kami melihat beberapa orang memakai selipar,” tambahnya sambil menggesa pihak berkuasa supaya meningkatkan pemantauan. – AFP

