Perkembangan teknologi yang semakin pesat menuntut Malaysia meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman keselamatan baharu, khususnya serangan siber yang kini menjadi antara cabaran terhadap kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman siber berbeza daripada ancaman tradisional yang lazimnya melibatkan serangan menggunakan senjata di perbatasan, sekali gus memerlukan tahap kefahaman dan persediaan yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya termasuk meningkatkan kefahaman mengenai cabaran dan ancaman yang datang daripada ruang siber.
“Salah satu daripada ancaman keselamatan hari ini ialah dari sudut serangan siber.
“Sebagai sebuah negara yang perlu mempertahankan kedaulatannya, kita juga perlu ambil tindakan-tindakan yang sewajarnya, membuat persediaan dan meningkatkan kefahaman mengenai cabaran yang datangnya daripada siber,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan program Siber Siaga sempena Pameran Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA) 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, program seperti Siber Siaga dan usaha yang dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) penting bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi ancaman bukan tradisional.
“Kita berharap dengan adanya program seumpama ini dan juga usaha-usaha ATM sebagainya, kita akan lebih bersedia apabila kita berhadapan dengan cabaran dan ancaman-ancaman yang bukan tradisional pada hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Mohamed Khaled berkata ancaman siber kini semakin kompleks dan serius, seiring dengan peningkatan kebergantungan masyarakat terhadap sistem digital.
Jelas beliau, serangan siber bukan sahaja boleh mengganggu sistem pertahanan, malah berpotensi menjejaskan infrastruktur kritikal seperti lapangan terbang, pelabuhan, grid tenaga, rangkaian pengangkutan, sistem perbankan, kemudahan kesihatan dan rangkaian internet.
“Apabila sistem-sistem ini gagal, apa yang bermula sebagai serangan yang tidak kelihatan boleh berkembang dengan pantas menjadi krisis nasional,” jelasnya.
Beliau turut memberi perhatian terhadap ancaman siber dalam bentuk pengintipan dan pencurian maklumat sensitif, termasuk data peribadi, rahsia negara, keupayaan ketenteraan serta kepentingan strategik.
Pada masa sama, katanya teknologi siber dan digital juga boleh digunakan untuk memperkukuh cognitive warfare melalui manipulasi maklumat dan persepsi bagi mewujudkan ketidakpastian, kebimbangan serta ketidakpercayaan dalam kalangan masyarakat.

Mohamed Khaled berkata, ancaman kognitif pada masa kini tidak lagi sekadar bertujuan menyebarkan berita palsu, sebaliknya boleh membentuk keseluruhan ekosistem penipuan melalui kandungan yang direka, sumber palsu dan manipulasi penglibatan di media sosial.
Ujarnya, ancaman berkenaan juga sukar dikesan kerana boleh datang daripada aktor domestik atau asing, termasuk kumpulan kecil atau individu yang beroperasi di luar sempadan negara.
Dalam menghadapi perkembangan itu, beliau menegaskan bahawa kepantasan teknologi tidak seharusnya mengatasi pertimbangan manusia dalam membuat keputusan berkaitan keselamatan dan pertahanan.
“Kelajuan sesuatu cadangan dihasilkan tidak boleh dengan sendirinya menentukan tahap keyakinan kita terhadapnya. Kita juga perlu memahami teknologi ini, mengenal pasti batasannya, menilai kesannya dan bersedia menggunakan pertimbangan yang baik,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, perkara itu selari dengan tema Siber Siaga 2026, Hyper War: Man, Machine, Decision, yang menekankan hubungan antara kelajuan mesin, keputusan manusia serta aspek etika dan maruah manusia.

Menurutnya, apabila teknologi mampu memproses maklumat dalam tempoh hanya beberapa milisaat, aspek masa dan kelajuan tidak lagi menjadi satu-satunya faktor dalam membuat keputusan kritikal.
Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata tanggungjawab manusia perlu kekal jelas walaupun sistem pertahanan semakin berkemampuan, termasuk dalam menentukan kuasa yang boleh diberikan kepada sesuatu sistem serta keadaan yang memerlukan campur tangan manusia.
“Tidak kira betapa canggihnya sistem kita, tanggungjawab untuk menjelaskan dan mempertahankan sesuatu keputusan mesti kekal pada manusia yang membuat keputusan tersebut,” tambahnya.
Beliau turut menekankan keperluan membina kepercayaan terhadap teknologi melalui ujian dan jaminan prestasi, selain memastikan anggota pertahanan mempunyai keupayaan teknikal, pemahaman operasi serta pegangan etika yang kukuh.

Pada masa sama, jelas beliau lagi, kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik perlu diperkukuh memandangkan ancaman siber tidak mengenal sempadan atau bidang kuasa.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan siber negara, Mohamed Khaled berkata Malaysia kini sedang bergerak ke arah penubuhan Cyber Force sebagai perkhidmatan keempat ATM menjelang 2030.
Beliau berkata, Tim Nukleus Angkatan Siber telah ditubuhkan sebagai asas untuk membangunkan tenaga kerja, keupayaan, struktur dan kepakaran yang diperlukan bagi membentuk Cyber Force yang berkesan dan diyakini.
“Ancaman tradisional kita tahu apabila soal serangan menggunakan senjata di perbatasan dan sebagainya, tetapi ancaman bentuk baharu, terutamanya daripada siber ini tidak begitu,” katanya.
Malah, usaha meningkatkan kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan Malaysia terus mampu mempertahankan kedaulatan negara dalam persekitaran keselamatan yang semakin mencabar.
“Kita harap dapat meningkatkan kefahaman kepada rakyat dalam soal ini supaya kita lebih bersedia dan usaha-usaha kita untuk terus mempertahankan kedaulatan negara akan dapat kita capai,” ujar Mohamed Khaled.

Turut hadir ke majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Muhammad Huzaimi Sabri; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima PSEP, Laksamana Muda Dato’ Fadhil Abdul Rahman.




