Ampang Jaya: Peminat e-sukan tidak harus melepaskan peluang hadir ke Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati di sini,yang bakal menjadi gelanggang pertarungan pemain terbaik negara sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Bermula 19 hingga 24 Ogos ini, venue berkenaan bakal bergegar dengan aksi enam acara e-sukan iaitu E-Chess, Mobile Legends: Bang Bang, Honor of Kings, E-Football, Street Fighter 6 dan E-Simulator.
Daripada pertempuran strategi di papan catur digital hingga aksi pantas permainan kompetitif, peminat berpeluang merasai sendiri bahang persaingan atlet e-sukan yang mewakili kontinjen masing-masing.
Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati turut dilengkapi kemudahan yang disediakan khusus bagi memastikan pertandingan berlangsung dalam keadaan optimum termasuk sambungan internet berkelajuan tinggi dan stabil, bekalan elektrik mencukupi serta sistem penyaman udara yang baik.
Selain itu, susun atur tempat duduk penonton dan laluan keluar masuk turut diberi perhatian bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pengunjung sepanjang temasya berlangsung.
Persiapan venue berkenaan turut mendapat kerjasama beberapa agensi teknikal termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Felda D’Saji, TM Unifi dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sebelum ini, MPAJ turut menerima kunjungan beberapa kontinjen MSN negeri termasuk Sabah, Kedah dan Pulau Pinang bagi meninjau fasiliti serta membuat persiapan menghadapi pertandingan.
Dalam masa sama, MPAJ turut menyokong kontinjen Selangor dalam acara badminton dan skuasy dengan sumbangan RM5,000 bagi setiap pasukan.
Bagi melancarkan urusan penganjuran, Lorong Perak, Taman Melawati akan ditutup mulai 15 hingga 24 Ogos khusus untuk kegunaan sekretariat dan petugas SUKMA.
Pengunjung yang hadir ke venue disediakan kawasan parkir awam di sekitar Pusat Beli-belah Melawati dan lot parkir di Jalan Melawati 1.
Justeru, peminat e-sukan dan orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati bagi menyaksikan sendiri aksi kompetitif serta memberikan sokongan kepada atlet yang membawa cabaran kontinjen masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd

