am@hmetro.com.my
Melaka: Seorang penganggur didakwa atas lapan pertuduhan iaitu melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta memukul dua anak kandung, dan mencederakan isterinya.
Pertuduhan terhadap tertuduh berusia 40 itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif dan Shauki Mardia Baharudin di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Majistret Uthman Abd Ghani di Wad 2-4 Hospital Melaka, hari ini.
Prosiding kes terhadap tertuduh yang juga bekas anggota Tentera Laut dijalankan di hospital berikutan dia sedang menerima rawatan akibat sesak nafas dan semput.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.
Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelaki berusia lapan tahun pada waktu malam dan jam 7.30 pagi, serta terhadap anak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Jalan TP 3, Taman Pahlawan, Sungai Udang, di sini, pada 23 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTK) 2017, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga didakwa atas dua pertuduhan lain iaitu melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap anak perempuannya itu di tempat sama pada 3 Jun lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 14(b) dan 15 (a) (i) AKKSTK 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta pemenjaraan maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan namun mahkamah mengurangkan kepada RM10,000 selepas dirayu tertuduh.
Sementara itu, tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Uthman, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera kepada isteri berusia 35 tahun dengan cara menampar mukanya serta mencederakan dua anak kandungnya itu dengan memukul badan mereka.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Batu 12, Jalan Solok Dogol, Sungai Udang, di sini, pada 11 Ogos lalu, kira-kira 3 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda RM2,000.
Jaminan dibenarkan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 September depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd

