am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Polis mengesahkan mayat yang dijumpai dalam beg pakaian di aliran cetek bahagian tengah Sungai Perak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah (Jambatan Sayong), di sini, hari ini adalah seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa adalah seorang wanita berusia lingkungan 30 tahun.
Bagaimanapun, katanya, identiti sebenar mangsa belum dapat dikenal pasti.
“Mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan selepas dihubungi malam ini.
Menurutnya, maklumat mengenai penemuan mangsa diterima jam 3.12 petang daripada seorang lelaki.
Heisham berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan agar tampil menghubungi pihak polis.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat yang berisi dalam beg pakaian itu susulan paras air cetek Sungai Perak, dengan beg berkenaan ditemukan terdampar akibat tersekat aliran cetek di bahagian tengah Sungai Perak.
Beg berkenaan turut dibalut dengan plastik pembungkus dan ditemukan oleh pemandu bot tambang yang membawa pelancong.
© New Straits Times Press (M) Bhd
