Arteta mahu terus bersama Arsenal

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan penyokong tidak perlu bimbang mengenai masa depannya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu walaupun kontraknya kini memasuki tahun terakhir.

Arteta menamatkan penantian 22 tahun Arsenal untuk menjulang gelaran EPL pada Mei lalu dan dijangka menandatangani kontrak baharu sebagai ganjaran atas kejayaan bersejarah berkenaan.

Namun, ketika Arsenal bakal memulakan kempen 2026-27 menentang Manchester City dalam Perisai Komuniti, esok, masih belum ada perkembangan mengenai kontrak baharu pengendali dari Sepanyol itu.

Arteta yang menyertai Arsenal pada 2019 kali terakhir menandatangani kontrak baharu bersama kelab London Utara itu pada 2024, namun beliau yakin perjanjian baharu akan dimeterai kelak.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya mahu berada di sini.

“Saya sangat gembira dan berasa amat bersyukur dapat bekerja bersama orang yang saya ada sekarang. Apabila tiba masanya, kami akan menyelesaikannya. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita

Arteta turut memberi bayangan bahawa aktiviti perpindahan Arsenal yang rancak sepanjang musim panas menjadi keutamaan berbanding rundingan kontraknya.

“Sentiasa ada perkara lain yang menjadi keutamaan! Begitulah cara kami menguruskannya kerana semua orang selesa dan merasakan tempoh kontrak ini bukan satu masalah.

“Saya sememangnya mahu berada di sini dan saya sangat gembira. Perasaan saya terhadap kelab ini juga sama. Sebab itu semuanya berjalan secara semula jadi,” katanya.

Arsenal memperkuatkan skuad juara dengan mendapatkan pemain tengah Newcastle, Bruno Guimaraes dan penyerang Club Brugge, Christos Tzolis.

Mereka turut menjadikan perpindahan Piero Hincapie dari Bayer Leverkusen secara pinjaman sebagai kekal selain mendapatkan Illan Meslier secara percuma.

Usaha Arteta mendapatkan Morgan Rogers dari Aston Villa dan Vinicius Junior dari Real Madrid bagaimanapun tidak berhasil dalam jendela perpindahan kali ini, ketika Manchester City, Tottenham dan Chelsea masing-masing membelanjakan £100 juta (RM558 juta) untuk seorang pemain.

Namun, Arteta tidak bimbang dominasi Arsenal sebagai juara akan tergugat oleh pencabar yang berbelanja besar.

“Saya sangat gembira dengan skuad dan pemain yang saya ada, selain amat berpuas hati dengan keazaman kelab.

“Tiada langsung keraguan mengenainya dan kami sudah menunjukkannya menerusi cara kami cuba bertindak. Tetapi kami perlu melakukannya dengan cara sendiri.

“Kami mempunyai kekuatan tersendiri dan ada beberapa bahagian yang perlu diberi perhatian kerana kami tidak memiliki elemen atau struktur seperti kelab lain.

“Kami perlu melakukannya dengan cara kami. Kami sentiasa berpegang kepada prinsip itu dan akan melakukan apa yang kami percaya sebagai langkah terbaik untuk memastikan peluang terbaik bersaing dalam setiap kejohanan,” katanya.

Arteta kini turut dikaitkan dengan usaha memperkuatkan benteng Arsenal dengan pemain Aston Villa, Ezri Konsa dan Jarell Quansah dari Bayer Leverkusen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top