am@hmetro.com.my
Melaka: PKR mesti kembali kepada deklarasi Permatang Pauh untuk mencari akar kepada idealisme perjuangan, sekali gus membina kembali kekuatan untuk bangkit.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, parti mempunyai pengalaman panjang kalah dalam medan pilihan raya, namun semangat juang tinggi pimpinan dan ahli, kemenangan itu dapat dikecapi semula.
“Kita parti yang tahu bagaimana untuk bangkit selepas kalah. Hari ini, adakah perjuangan kita sudah selesai? tentu sekali tidak. Kita harus meneruskan kejayaan kita di dalam pemerintahan negara. Perjuangan ini belum selesai.
“Kita perlu cukup matang untuk membaca realiti, jujur mengakui kelemahan dan berani untuk belajar daripada pengalaman. Kita tidak boleh berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Kita mesti mengakui bahawa kita pernah kecewa, sedih, terluka, tapi kita tak boleh biarkan luka menentukan masa depan kita.
“Luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat kepada perjuangan. Sejarah parti kita sendiri sudah membuktikan setiap kali kita diuji, kita sentiasa mempunyai pilihan untuk bangkit memperbaiki diri dan membina semula kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di yer Keroh, hari ini.
Hadir sama pimpinan PKR serta Kerajaan Perpaduan antaranya Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Nor dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Mohamad Sabu.
Fuziah berkata, beberapa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini mula menguji kekuatan parti.
“Kehilangan beberapa medan yang selama ini menjadi sandaran perjuangan, termasuk negeri pernah kita terajui.
“Kita juga melalui perubahan dalam hubungan politik yang tidak semuanya mudah untuk kita terima.
“Ada rakan dalam perjalanan yang patut satu ketika kita memilih dengan kita, memilih haluan yang sukar kita percayai, boleh berlaku perkara itu. Ibarat tidur sebantal, mimpi lain-lain.
“Ia meninggalkan kesan yang bukan sedikit di hati sanubari kita. Tindakan yang buat kita rasa terhiris dan terluka. Namun kongres ini bukan tempat untuk kita menuding jari, mencari siapa yang salah, atau membalas apa yang telah berlaku,” katanya.
Menurutnya, pemimpin dan ahli parti tidak harus membiarkan kekalahan menentukan kedudukan dan membiarkan luka menentukan masa depan.
“Kita mesti mempunyai keberanian untuk berkata, kita akan bangkit. Kita akan memperbaiki diri dan kita akan meneruskan perjalanan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

