Kerajaan akan mansuhkan AUKU – Anwar

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

Anwar berkata, walaupun beberapa pindaan AUKU sebelum ini telah memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergiat aktif, ruang kebebasan itu perlu diperluas selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara. 

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus lebih bebas. Kita dah bebaskan dengan beberapa pindaan AUKU sebelum ini, namun ada yang tidak berpuas hati. Mereka mengemukakan memorandum, maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan AUKU,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu, Bendahari DAP Ngeh Koo Ham dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar berkata, pemansuhan AUKU merupakan antara reformasi pendidikan yang akan diteruskan kerajaan selepas kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi negara semakin terjamin di bawah pentadbirannya.

“Sekarang, saya akan teruskan dengan lebih tegas agenda reformasi dan beberapa perkara yang tertangguh, termasuk reformasi pendidikan yang kita lakukan, kemasukan anak-anak pada peringkat awal, TVET dan STEM dengan cara lebih teratur,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan tidak mahu pendidikan prasekolah hanya dinikmati golongan elit di bandar, manakala kanak-kanak di kawasan pedalaman dan desa mendapat akses pendidikan pada tahap lebih rendah.

“Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak di pedalaman dan desa, maka sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan,” kata Perdana Menteri. – Bernama

 

Scroll to Top