Kerajaan akan mansuhkan AUKU, beri mahasiswa lebih kebebasan – PM Anwar

Kerajaan akan mansuhkan AUKU, beri mahasiswa lebih kebebasan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), susulan masih terdapat perkara yang disifatkan tidak memuaskan dalam kalangan mahasiswa.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, meskipun beberapa pindaan terhadap AUKU sudah dilaksanakan sebelum ini, mahasiswa masih menyuarakan hasrat untuk mendapatkan lebih kebebasan.

“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas, kita sudah bebaskan dengan pindaan AUKU, masih ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo.
“Maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Kerajaan akan mansuhkan AUKU, beri mahasiswa lebih kebebasan – PM Anwar

Turut hadir pimpinan PKR dan Kerajaan Perpaduan, antaranya Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Nor serta Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.

AUKU sudah tujuh kali dipinda sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

Pindaan terbaharu pada 2024 pula menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar universiti awam tidak lagi tertakluk kepada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.

Artikel lain: “Jumpa nanti..”- Adam Adli setuju, sahut cabaran dialog terbuka bersama mahasiswa

Selain itu, pindaan Seksyen 15A membolehkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa cara sekali pun, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Anwar berkata beberapa reformasi pendidikan turut berjaya dilaksanakan pentadbirannya, termasuk memperkemas kemasukan anak-anak pada peringkat awal serta memperkukuh pendidikan TVET dan STEM.

“Apa yang kita lakukan, kemasukan anak-anak di peringkat awal, bahan TVET dan STEM secara lebih teratur, pengambilalihan prasekolah untuk semua anak-anak kita.
“Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak di pedalaman dan desa. Maka, itu sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Mohd Nasaruddin Parzi)

Scroll to Top