AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta membuat keputusan politik berhubung hubungan parti itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan parti dan akar umbi bergerak ke hadapan.
Wakil dari Selangor, Ahmad Danish Hairudin berkata, jangan terlalu sibuk menjaga hati orang lain sehingga terlupa menjaga hati keluarga sendiri.
“Maka biarlah Kongres Nasional Keadilan 2026 menghantar satu mesej yang jelas iaitu kepada yang setia, kita hargai, kepada yang berkawan, kita hormati.
“Tapi kepada yang menyerang, kita lawan. Kita akan lawan seperti mana kita lawan dalam tempoh 20 tahun lalu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini pada Sabtu.
Ini kerana katanya, BN bersama Pakatan Harapan(PH) dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi di medan politik saling berlawanan.
Jelasnya, persahabatan dalam politik sepatutnya mempunyai batas dan maruah.
“Hari ini UMNO berada bersama kita dalam Kerajaan Perpaduan. Kita duduk semeja. Kita berkongsi pentadbiran. Kita mempertahankan kerajaan yang sama.
“Kita menerima mereka sebagai rakan kerana negara memerlukan kestabilan. Tetapi persahabatan politik mestilah mempunyai batas dan maruah,” katanya.
“Jangan di Putrajaya kita bersalaman, tetapi di medan politik tangan yang sama menikam kita,” katanya
Menurutnya, maruah PKR bukan sesuatu yang boleh dikorbankan demi kestabilan politik semata-mata.
Tambahnya, jangan ketika berada di dalam kerajaan dipanggil sebagai sahabat, tetapi apabila waktu pilihan raya menjadi musuh.
“Maruah Keadilan bukan harga yang boleh dibayar untuk membeli kestabilan.
“Jangan ketika berada dalam kerajaan, kita dipanggil sahabat tetapi apabila tiba pilihan raya, musuh kepada Keadilan pula dirangkul sebagai teman,” katanya.
Danish berkata, itu bukan bermaksud parti berkenaan meminta UMNO tunduk kepada PKR atau membubarkan identiti perjuangannya.
Namun jelas beliau, apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh didiamkan.
“Kita tidak meminta UMNO tunduk kepada KEADILAN. Kita tidak meminta UMNO membubarkan identiti perjuangan mereka.
“Di Johor kita ditikam UMNO. Di Negeri Sembilan kita dipancung UMNO dalam keadaan kita duduk serumah. Adakah kita masih mahu berdiam diri?” katanya.