Tulang raja abad ke-11 diselamatkan ketika kebakaran hutan marak

MADRID: Anggota bomba bertungkus-lumus menyelamatkan sebuah biara berusia 1,000 tahun di timur laut Sepanyol ketika kebakaran hutan yang semakin marak memaksa tinggalan tulang dan tengkorak beberapa raja zaman pertengahan yang disemadikan di situ dipindahkan segera.

Kebakaran yang tercetus awal minggu ini merebak ke arah dua biara San Juan de la Pena, tapak bersejarah yang menjadi antara simbol penting wilayah Aragon dan terletak di kawasan pergunungan berbatu.

Biara tertua itu yang menurut legenda pernah dikaitkan dengan Holy Grail, berasal dari abad ke-10 dan menempatkan jasad raja-raja pertama kerajaan Aragon pada zaman pertengahan.

Unit Kecemasan Tentera Sepanyol (UME) menerbitkan rakaman anggota-anggotanya bergegas memindahkan khazanah berharga dari biara berkenaan, termasuk kotak lutsinar yang mengandungi tengkorak dan tulang, karya seni serta sebuah piala, ketika api marak di kawasan bukit berhampiran.

“Pada saat-saat terakhir, kami berjaya menyelamatkan artifak yang mempunyai nilai sejarah luar biasa untuk wilayah ini dan seluruh Sepanyol,” kata Ketua UME, Javier Marcos, kepada pemberita.

“Saya tidak yakin bagaimana kebakaran ini akan merebak. Atas sebab itu, kami masih menempatkan anggota untuk melindungi kedua-dua biara,” kata Ketua UME, Javier Marcos kepada pemberita.

Tapak warisan itu terletak berhampiran salah satu laluan ziarah Saint James yang terkenal di dunia menuju bandar Santiago de Compostela di barat laut Sepanyol dan menarik kira-kira 100,000 pengunjung setiap tahun.

Wilayah Aragon pada Jumaat diletakkan di bawah amaran cuaca panas tahap kedua tertinggi, dengan suhu maksimum mencecah 37 darjah Celsius di kawasan yang terjejas akibat kebakaran.

Pihak berkuasa wilayah berkata, lebih 10,000 hektar kawasan terjejas manakala kira-kira 850 penduduk dipindahkan dari beberapa penempatan kecil dan kampung.

Ketua wilayah Aragon, Jorge Azcon, tidak menolak kemungkinan lebih banyak pemindahan dilakukan dan berkata, tiga pesawat pemadam kebakaran dari Perancis akan tiba bagi memperkukuh usaha kira-kira 500 anggota yang kini bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.-AFP

Scroll to Top