Gempa bumi di Nusa Tenggara Timur: 16 pelancong Malaysia selamat

Kuala Lumpur: Sekumpulan 16 pelancong Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berjaya menghubungi kumpulan berkenaan susulan gempa bumi yang melanda timur laut Mbay di Kabupaten Nagekeo pada 4.58 pagi waktu tempatan.

“Pada peringkat ini, kementerian boleh mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden ini.

“Selain itu, pihak Kedutaan berjaya menghubungi sekumpulan 16 pelancong Malaysia yang diketahui berada di sekitar kawasan berkenaan dan kesemuanya disahkan selamat serta berada dalam keadaan sihat,” menurut Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang dalam perjalanan ke kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk kekal berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perkembangan baharu membabitkan rakyat Malaysia,” menurut Wisma Putra.

Rakyat Malaysia turut digesa mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular dengan pantas.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera atau berdepan kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian kecemasan +62 813 8081 3036 atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top