sukan@hmetro.com.my
Shah Alam: Atlet taekwondo Perlis, Putri Nurrafqistina Damia Md Roshidi mengakui keputusan beralih kategori daripada 46 kilogram (kg) kepada bawah 73kg pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bukanlah semudah yang disangkakan.
Malah, atlet berusia 18 tahun itu mengakui perubahan berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan rutin hariannya apabila perlu meningkatkan pengambilan makanan bagi menyesuaikan diri dengan kategori baharu.
Namun, segala cabaran itu berbaloi selepas Putri berjaya meraih emas berganda pada SUKMA kali ini apabila turut cemerlang memenangi emas pada edisi Sarawak dalam kategori 46kg.
Lebih manis, emas yang diraih hari ini juga menjadi emas pertama buat kontinjen Perlis dalam temasya kali ini.
Dalam perlawanan akhir itu, Putri mempamerkan kawalan gelanggang dengan cukup baik sebelum menewaskan wakil Terengganu, Fu Chervyn 2-0 dalam aksi final kategori bawah 73kg.
“Saya tak sangka sebab saya baru saja main kategori ini. Memang terganggu juga sebab ketika latihan saya selalu kena makan, kemudian latihan, makan, latihan, makan, latihan dan tidur. Itu sajalah rutin saya.
“Sebab saya ingat kategori tinggi ini senang, tetapi sebenarnya susah sikit,” katanya.
Sementara itu, K Taruna dari Wilayah Persekutuan dan Valerie Choy Xin Yu (Selangor) masing-masing meraih pingat gangsa selepas tewas di peringkat separuh akhir.
Dalam pada itu, Putri mengakui teruja apabila mengetahui kejayaannya menyumbang pingat emas pertama Perlis pada SUKMA Selangor 2026.
“Sebenarnya saya baru tahu yang saya dapat pingat emas untuk Perlis. Saya rasa gembira sebab dapatkan pingat emas untuk Perlis.
“Saya juga gembira sebab dapat membanggakan mak ayah dan pasukan jurulatih. Saya nak ucapkan terima kasih sebab mereka sentiasa menyokong saya dari kecil sampai sekarang,” katanya.
Ditanya sama ada akan kembali ke kategori asal atau meneruskan saingan dalam kategori baharu, Putri menyerahkan keputusan berkenaan kepada jurulatihnya dan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.
Selepas cemerlang dalam dua edisi SUKMA, wakil Perlis itu menaruh harapan tinggi agar pencapaian berkenaan mampu membuka peluang untuk dirinya menyarung jersi negara dan menembusi program yang ditawarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
