KUALA LUMPUR: Mengangkat semangat budaya masyarakat Sabah, penyanyi, Reynald Guntabid tampil mencuri perhatian di karpet merah Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40).
Penyanyi yang mempertaruhkan lagu Lumangad Oku Dika itu menggayakan rekaan dari pereka fesyen daripada Sabah menggabungkan tradisi Borneo dengan sentuhan moden.
“Baju ini adalah gabungan daripada dua dunia iaitu gabungan antara moden dan tradisi. Pereka fesyen dari Sabah juga iaitu Janice Fong,” katanya.
Ditanya mengenai ramalan pengguna media sosial mengenai lagunya berpotensi merangkul juara, Reynald hanya mengaggap itu sebagai doa.
Dalam pada itu, Reynald juga menegaskan dia tidak membuka media sosial miliknya selama dua hari kerana tidak mahu rasa tertekan.
“Saya sebenarnya dua hari tidak buka media sosial untuk menjaga ketenangan. Kalau ada ramalan sebegitu, saya anggap seperti doa,” katanya.
Reynald sebelum ini mencipta perhatian apabila menjadi satu-satunya wakil Sabah dalam senarai 10 finalis AJL40 menerusi lagu yang dicipta dan ditulis sendiri olehnya. -UTUSAN


