Politik sekarang serabut, macam tengok sinetron – Nik Nazmi

Politik sekarang serabut, macam tengok sinetron – Nik Nazmi

MELAKA – Rakyat kini melihat politik negara berada dalam keadaan serabut ibarat menonton sinetron atau drama berepisod yang sentiasa berubah jalan ceritanya.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keadaan itu menyebabkan pengundi semakin keliru dan tidak mengikuti perkembangan politik semasa.

“Sekarang pengundi di luar sana rasa sangat ‘out of touch’. Mereka rasa politik ini sudah jadi serabut.

“Mak saya berusia 86 tahun pun kadang-kadang tanya, siapa kawan dengan siapa? Sebab dia kata macam tengok sinetron. Kita terlepas satu episod saja sudah tidak tahu apa yang berlaku,” katanya berucap semasa Pengumuman Calon Bersama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Katanya, keadaan politik negara berubah-ubah apabila parti yang sebelum ini saling mengkritik akhirnya membentuk kerajaan sebelum kembali berkonflik dan meninggalkan kerajaan.

“Politik Malaysia macam itulah. Mula-mula hentam parti ini, lepas itu buat kerajaan, kemudian bergaduh balik dan keluar kerajaan. Macam-macam.

“Orang tengok ahli politik banyak bercakap dan slogan serta janji mereka hebat-hebat. Bila bercakap mahu buat perubahan, memang cukup mengagumkan.

“Tetapi apabila ada kuasa, perubahan itu tidak kelihatan. Itu yang membuatkan orang kecewa,” katanya.

Politik sekarang serabut, macam tengok sinetron – Nik Nazmi

Antara yang hadir pada pengumuman calon Bersama PRN Melaka pada Sabtu.

Nik Nazmi berkata, perjuangan untuk membawa perubahan tidak seharusnya hanya ditonjolkan ketika berada di bangku pembangkang, sebaliknya perlu diteruskan apabila mendapat kuasa.

“Bila sudah ada kuasa, macam-macam alasan diberikan. Bila tidak ada kuasa, dialah pejuang perubahan paling hebat dalam sejarah negara.

“Pejuang ini bukan waktu pembangkang sahaja. Nak jadi kerajaan pun kena berjuang dan kena buat ketika ada kuasa.

“Kita akan diuji waktu susah dan kita akan diuji waktu senang. Orang tengok sekarang kerajaan gagal buat perkara-perkara tersebut ketika orang yang bercakap mengenai perubahan itu ramai berada dalam kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, Bersama mahu menawarkan calon yang mampu membawa perubahan sekiranya mendapat sokongan pengundi pada PRN Melaka.

“Jadi misi kita sebagai Parti Bersama, seperti disebut tadi, kita akan hantar calon yang cukup secara teorinya, kalau semua undi betul, kita boleh buat satu perubahan yang besar,” katanya.

 

Scroll to Top