Noida, India: Seorang calon pekerja Gen Z mencuri perhatian apabila berani meminta masa tidur tengah hari selama 30 minit ketika sesi temu duga sebelum akhirnya diterima bekerja, lapor NDTV.
Permintaan luar biasa itu mengejutkan pengasas syarikat namun pada masa sama mendorongnya memikirkan semula sama ada hasil kerja lebih penting berbanding jumlah jam seseorang berada di meja pejabat.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Nitin Verma berkongsi pengalaman itu di LinkedIn apabila calon terbabit secara terbuka berkata, “Encik, saya memerlukan masa untuk tidur 30 minit setiap petang. Ia meningkatkan produktiviti saya.”
Menurut Verma, calon Gen Z itu mengemukakan permintaan berkenaan dengan penuh yakin, bukannya dalam keadaan gugup atau sekadar bergurau, seolah-olah sedang berunding mengenai gaji.
Beliau mengakui reaksi pertamanya adalah mahu menamatkan temu duga, namun memilih untuk meneruskan sesi itu kerana tertarik dengan keyakinan calon terbabit.
Katanya, pengalaman itu membuatkan beliau tertanya-tanya sama ada calon berkenaan benar-benar salah kerana meminta masa tidur yang tetap setiap hari.
Verma berkata, beliau pernah membaca kajian yang mendapati tidur seketika pada waktu petang mampu meningkatkan tumpuan, daya ingatan dan tahap tenaga.
“Ramai pekerja sebenarnya mengantuk ketika mesyuarat jam 3 petang tetapi calon ini cukup jujur untuk mengakuinya sejak awal,” katanya.
Beliau turut menghormati kejujuran calon berkenaan kerana kebanyakan individu cuba menyembunyikan sifat sebenar ketika temu duga sedangkan calon berkenaan berterus terang mengenai cara kerja yang membolehkannya mencapai prestasi terbaik.
Bagaimanapun, Verma tidak menjanjikan masa tidur khusus sebaliknya memberitahu calon itu bahawa perkara paling penting ialah hasil kerja.
“Saya tidak peduli bila anda tidur. Saya peduli sama ada kerja itu dapat disiapkan. Berikan hasil, saya tidak akan mengira waktu kerja anda. Jika tidak, tiada tidur di dunia ini yang dapat menyelamatkan anda,” katanya.
Menurut Verma, situasi itu mencerminkan perubahan dalam cara Gen Z melihat dunia pekerjaan yang kini lebih menitikberatkan hasil kerja berbanding tempoh masa dihabiskan di pejabat. Namun, beliau mengakui tidak semua tuntutan generasi itu boleh dianggap munasabah.
Beliau berkata, calon berkenaan akhirnya diterima bekerja bukan kerana permintaan untuk tidur selama 30 minit tetapi kerana keberaniannya mengemukakan permintaan itu serta kemampuannya membuktikan prestasi kerja yang baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd


