SHAH ALAM: Selangor kembali menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA 2026 selepas 28 tahun, dengan temasya berprestij itu secara rasminya membuka tirai menerusi majlis perasmian di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sekali gus mengembalikan semangat SUKMA ke negeri ini sejak kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.

Menariknya, majlis perasmian kali ini tampil dengan pendekatan berbeza apabila tidak lagi berlangsung dalam suasana stadium seperti kelaziman, sebaliknya dibawa ke ruang awam terbuka di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Pendekatan berkenaan menjadikan majlis perasmian bukan sekadar acara yang disaksikan dari tempat duduk, malah hadir lebih dekat dengan masyarakat menerusi ruang kota yang menjadi tumpuan rakyat.
Penganjuran di lokasi terbuka itu turut memanfaatkan infrastruktur bandar sedia ada, selain memperluas keterlibatan masyarakat dan mengekalkan disiplin penganjuran secara berhemah.
Perarakan masuk 15 kontinjen bermula dengan Johor dan diakhiri tuan rumah, Selangor berlangsung meriah di hadapan ribuan penonton yang hadir bagi menyaksikan detik pembukaan temasya.
Obor SUKMA Selangor 2026 dibawa ikon kelahiran Selangor, Timbalan Presiden Akuatik Malaysia (MAS) Marilyn Chua iaitu bekas perenang negara yang pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Sydney diiringi bekas gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan perenang kebangsaan, Andrew Goh.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dan artis tempatan, antaranya persembahan Azlan & The Typewriters dan Balan Kash yang mempersembahkan lagu rasmi SUKMA Selangor 2026 berjudul Rentak Kita Aksi Kita.
Turut menghiburkan orang ramai ialah penyanyi popular Jaclyn Victor dan Nadeera Zaini, selain persembahan Caliph Buskers serta Ayai Ilusi yang memeriahkan suasana pembukaan temasya.
Upacara perasmian kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar kejohanan sebelum upacara menyalakan obor temasya yang menandakan bermulanya secara rasmi persaingan atlet dari seluruh negara.
SUKMA edisi ke-22 itu menghimpunkan lebih 5,000 atlet dari 14 negeri serta Brunei yang akan berentap dalam 469 acara melibatkan 37 jenis sukan.
Kesemua atlet membawa misi masing-masing untuk mengukir kejayaan di pentas sukan kebangsaan, sekali gus menjadikan Selangor sebagai medan persaingan bakat-bakat muda terbaik negara. – UTUSAN
