Johor lulus RM3.7 juta naiktaraf infrastruktur di Batu Pahat

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan awal sebanyak RM3.7 juta bagi projek menaiktaraf infrastruktur termasuk mewujudkan dataran baru di Rengit.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata daripada keseluruhan peruntukan itu, RM2 juta adalah projek membina dataran Rengit manakala RM1.7 juta bagi menyelenggara parit dan jalan.

Menurutnya, kerajaan negeri meneliti setiap permohonan dibuat dan bersetuju menyalurkan peruntukan demi kesejahteraan penduduk khususnya di daerah ini.

“Kita mahu memastikan setiap janji dibuat mesti ditunaikan. Pada ketika ini, kita perlu bekerja menyantuni rakyat, menyelesaikan isu yang dihadapi di setiap kampung, taman perumahan dan kawasan lain.

“Apa yang hendak kita tekankan ialah pilihan raya negeri sudah pun berlalu. Sekarang untuk lima tahun akan datang, tugas kita adalah untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

“Kita nak bangunkan Batu Pahat supaya ia kembali kepada zaman kegemilangan suatu ketika dahulu. Batu Pahat adalah antara daerah termaju dalam negara dengan kemasukan pelbagai pelabur.

“Sekarang ini, lapangan terbang sudah ada jadi potensi untuk Batu Pahat sangat besar. Ia memerlukan perancangan dengan teratur, diperhalusi satu persatu supaya hasilnya benar dapat dirasai, dimanfaatkan oleh rakyat di Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Rakyat bersama Menteri Besar di Rengit, di sini.

Pada majlis terbabit, Onn Hafiz turut menyerahkan kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada penduduk yang layak.

Katanya lagi, beliau akan memastikan kemasukan pelabur ke Batu Pahat mampu menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji premium kepada masyarakat setempat.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Saya minta pegawai daerah pastikan supaya pihak swasta juga terlibat untuk membangunkan daerah ini.

“Saya tegaskan apabila dipilih sebagai pemimpin, kita kena buta warna. Sama ada mereka menyokong kita atau pun tidak, sama ada mereka undi kita ataupun tidak, itu perkara nombor 10.

“Sebagai pemimpin, sebagai menteri besar Saya bertanggungjawab kepada empat juta bangsa Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top