nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Damansara: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ibadah haji perlu diseimbangkan dengan bimbingan ulama dan pembimbing haji bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat susulan perbezaan pandangan hukum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkembangan teknologi termasuk AI dan kemunculan pelbagai sumber rujukan agama digital menuntut institusi agama lebih proaktif dalam menangani perbezaan pandangan atau khilaf yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Teknologi harus menjadi alat yang memperkukuh kefahaman manusia, bukannya menggantikan kewibawaan ilmu dan peranan ulama serta pembimbing haji.
“Kadang-kadang kalau kita terlalu obses dengan teknologi, akhirnya jiwa kita kering, kurang sentuhan manusia. Apa yang kita perlu bukan hanya teknologi tinggi, tetapi sentuhan kemanusiaan yang tinggi.
“Kita tetap memerlukan sentuhan kemanusiaan yang boleh membimbing, memupuk jiwa kita dan jiwa para Duyufurrahman,” katanya ketika berucap merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43, di sini, malam ini.
Dalam majlis berkenaan, Zulkifli turut melancarkan e-book E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 Bimbingan Haji Dalam Era AI.
Justeru, Zulkifli berkata, Muzakarah Haji menjadi medan ijtihad secara kolektif bagi meneliti dan merumuskan penyelesaian terhadap isu semasa berkaitan ibadah haji, termasuk perbezaan pandangan hukum yang memerlukan penelitian berdasarkan perubahan zaman dan realiti semasa.
Katanya, perkembangan seperti penggunaan ChatGPT, Mufti AI dan sumber maklumat agama dalam kalangan netizen menjadikan usaha menyelaraskan kefahaman masyarakat semakin penting.
“Perbezaan pandangan ini akan memberikan kesan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Muzakarah ini diharap dapat menyelesaikan apa-apa kekeliruan serta khilaf yang mungkin tidak bersesuaian untuk dijadikan panduan kepada masyarakat umum,” katanya.
Sementara itu, mengenai pelancaran e-book berkenaan, Zulkifli berkata, ia menghimpunkan 65 kertas kerja dalam tiga jilid, merangkumi pelbagai isu semasa dan inovasi pengurusan haji, khususnya berkaitan kecerdasan buatan.
“Ia akan menjadi salah satu daripada rujukan yang sangat berharga kerana ia menyelesaikan isu-isu permasalahan terkini dan juga memberikan satu panduan dan bimbingan kepada umat Islam untuk menunaikan haji.
“Buku ini terbuka kepada umum, mereka hanya perlu mengimbas QR diberikan dan boleh mengakses kesemua tiga jilid berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




