Saravanan persoal tindakan SPRM panggil anak 12 tahun

Saravanan persoal tindakan SPRM panggil anak 12 tahun

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu anak lelakinya berusia 12 tahun ke ibu pejabat agensi itu dan kemudiannya dimaklumkan bahawa kanak-kanak terbabit tidak perlu hadir atau menandatangani sebarang dokumen.

Menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya hari ini, Saravanan berkata, perkara itu hanya dimaklumkan selepas beliau dan anaknya tiba di ibu pejabat SPRM pada Isnin.

“Jika dia tidak perlu hadir, mengapa perkara ini tidak dijelaskan lebih awal sebelum seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dibawa ke ibu pejabat pencegah rasuah?” katanya.

Saravanan sebelum ini mengkritik penjelasan SPRM berhubung kehadiran anaknya itu yang disifatkannya sebagai ‘sama sekali tidak masuk akal’.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pegawai SPRM bahawa anaknya masih bawah umur dan tidak mempunyai sebarang harta atas namanya.

“Namun, hanya selepas dia melangkah masuk ke ibu pejabat SPRM, kami diberitahu bahawa dia tidak perlu menandatangani (dokumen) apa-apa dan boleh pulang,” katanya.

Saravanan berkata, SPRM kemudian mendakwa anaknya tidak pernah dimaksudkan untuk menerima notis berkenaan, selain mencadangkan keluarga mungkin membawanya kerana tiada sesiapa di rumah untuk menjaganya.

“Ini tidak masuk akal dan sejak awal lagi bukan pilihan mana-mana ibu bapa,” katanya sambil turut mempersoalkan pendirian SPRM bahawa undang-undang tidak menetapkan had umur bagi notis pengisytiharan harta.

Saravanan merujuk Seksyen 36 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan seseorang memberikan pernyataan secara bersumpah dengan kegagalan mematuhi arahan itu boleh membawa implikasi jenayah.

Bagaimanapun, katanya, undang-undang turut mengiktiraf bahawa kanak-kanak mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk memahami kepentingan sesuatu sumpah.

Beliau turut memetik Seksyen 133A Akta Keterangan 1950 yang memperuntukkan kanak-kanak berusia terlalu muda boleh memberikan keterangan tanpa sumpah.

“Jadi, persoalannya bukan sekadar sama ada Seksyen 36 mengandungi perkataan ’18’ atau ’12’.

“Ia juga perlu melihat sama ada penggunaan mekanisme siasatan terhadap orang dewasa kepada kanak-kanak berusia 12 tahun menghasilkan keputusan yang tidak munasabah dan tidak seimbang,” katanya.

Saravanan berkata, Seksyen 17A Akta Tafsiran 1948 dan 1967 turut menghendaki undang-undang ditafsirkan selaras dengan tujuan dan kesannya.

Beliau berkata, persoalan sebenar bukan hanya sama ada undang-undang secara teknikal membenarkan notis itu dikeluarkan, tetapi sama ada proses berkenaan wajar digunakan terhadap kanak-kanak.

Pada 25 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengumumkan notis pengisytiharan harta akan diserahkan kepada Saravanan, isteri dan tiga anaknya pada 28 September.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top