sukan@hmetro.com.my
Langkawi: Pelari Kuala Lumpur, Kar Kin Teh mencipta kejutan apabila menjuarai kategori lelaki 100 kilometer (km) Langkawi International Ultra Run (LIUR) 2026, meskipun baru pertama kali menyertai perlumbaan ultra.
Kin Teh yang juga seorang peniaga mendominasi kategori lelaki selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 11 jam 5 minit 57 saat di Dataran Lang di sini, awal pagi hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas dia membuat persiapan selama enam bulan bagi menghadapi cabaran perlumbaan sejauh 100km berkenaan.
“Saya membuat persiapan selama enam bulan sebelum mendaftar menyertai kejohanan ini dan sangat gembira apabila segala usaha itu membuahkan hasil apabila menjadi pelari pertama tiba di garisan penamat bagi kategori 100km.
“Namun, kejayaan ini bukan mudah. Selepas berlari kira-kira 50km, kaki mula terasa sakit dan saya hampir menyerah kalah.
“Saya pujuk diri sendiri kerana perjalanan masih jauh dan perlu terus mencuba sehingga ke garisan penamat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan di Dataran Lang di sini, hari ini.
Atlet Filipina, Darren Christopherson Villalino muncul naib juara dengan catatan 11:51:14s, diikuti pelari denai negara, Tick Twan Lye yang melengkapkan podium selepas merekodkan 11:56:53s.
Bagi kategori wanita 100km, pelari maraton negara, Nurul Nadia Mohd Zin mengungguli saingan selepas mencatat masa 13:45:43s.
Dua pelari Singapura, Sophia Yee dan Li Huichun masiing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 14:19:19s dan 14:48:19s.
LIUR 2026 menghimpunkan 737 peserta dari 20 negara dengan tujuh kategori dipertandingkan iaitu 100km (Ultra), 50km (Ultra), 21km, 10km, 5km, 2km (Ultra Kid) dan 500 meter (Ultra Kid).
© New Straits Times Press (M) Bhd

