Melaka: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau memilih kestabilan politik dan kemakmuran rakyat, selain mahu kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada peringkat Persekutuan diteruskan.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata sebarang keputusan politik tidak wajar didorong oleh kepentingan pangkat, kedudukan atau kemarahan, sebaliknya mesti berlandaskan kepentingan rakyat dan negara.
“Dengan apa yang berlaku kebelakangan ini, ada yang bertanya bagaimana hubungan dengan UMNO dan BN. Saya kata kita mesti fikir dan harus lebih waras, ada hikmah dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
“Kita pilih kestabilan, kemakmuran rakyat melalui pertumbuhan ekonomi dan pilih bekerjasama terus dengan UMNO–BN pada peringkat Persekutuan supaya dua prinsip ini diteruskan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
